Hikam: Hikmah, Tauhid, Dan Tasawwuf

HIKAM : HIKMAH,TAUHID DAN TASAWUF

Ibn ‘AtaiLlah As-Sakandari قد س الله سره

Kuliah Subuh 1:Ahad 21 Safar 1433 H = 15 Januari 2012

Surau Raudhatul Muttaqin Taman Dato’ Senu Sentul KL

Pengenalan

Kitab Hikam ditulis oleh Al-Imam Ahmad Abu Fadhal Tajuddin bin Muhammad bin Abdul Karim bin ‘AtaiLlah Askandari pengikut dan penuntut dua tokoh tasawuf tersohor Mesir Imam Abu al-Abbas AL-Mursi dan Imam Abu al-Hasan al-Syazali.Menurut Abu al-Wafa` al-Ghunaymi al-Taftazani di dalam karyanya Ibn ‘Ata`iLlah al-Sikandari Watasawwufuhu bahawa Ibn ‘AtaiLlah hidup di Qaherah Mesir dan meninggal dunia di Madrasah al-Mansuriyyah Qaherah  pada tahun 709 H bersamaan tahun 1309 M.  Kitab Hikam ini menumpukan perbahasannya kepada kupasan tauhid dan tasawuf yang merupakan kembar utama feqah Islami.Ungkapan-ungkapan penuh hikmah dan pengajaran yang termuat dalam al-Hikam terdiri daripada 264 hikmah.Karya ini telah dihurai dan dianalisis oleh puluhan malah ratusan ulama di seluruh dunia Islam termasuk di Nusantara atau di Alam Melayu.Syarah penting kitab ini dalam bahasa Melayu dilakukan oleh Ulama` terbilang Trengganu yang bergelar To` Pulau Manis.Antara ungkapan indah ulama` itu terhadap kitab Hikam ini boleh direnungkan,antara lain katanya;

 

كتاب انيله يغ فاتوت مغاجين * دان اومفماث ماس سوده داوجيث

دان اومفما فول مكانن دهيدغ * دان يغ لاين ايت تودوغ ساجيث

دان اومفما فول بواه بواهن * ايسي دان مييق دالم بيجيث

كران اياله يغ ميمفي كفد توهن * لاكي بسر فهلاث دان كجيث

دان يغ دافت علموث دان مغعملكن * اورغ ايتوله سبنر دفوجيث

شركا ايت كديامن يغ ككل * علم اين فينتوث دان بيجيث

دان يغ جاهل دغن دي افي نراك * سلر سغت تيكمث كزكاجيث

يا رب كرنيا اكن فتوح اغكو * بك تيف تيف همبا مغاجيث

Hikmah Pertama : Akibat Berpegang Kepada Amal

 

من علا ما ت الإعتما د على العمل نقصان الرجاء عند وجود الزلل

Maksudnya : Sebahagian daripada petanda pergantungan seseorang itu kepada usahanya ialah terhakis pengharapannya kepada Allah apabila menyerlah bibit-bibit kesalahannya.

Dalam konteks kalam hikmah tersebut manusia berada dalam tiga tahap kedudukan dihadapan ketentuan Allah SWT.

i.Mertabat al-‘ibad atau hamba Allah.Sehubungan ini To’ Pulau Manis ( T.P.M ) menyatakan bahawa peringkat ini seseorang itu masih bergantung kepada usahanya.Petanda kerendahan mertabat ini ialah berkurangan pengharapannya kepada Allah apabila tidak tercapai apa yang dicita-citakannya.Matlamat mereka ialah untuk masuk syurga Allah dan terhindar daripada nerakaNya dengan melaksanakan kewajipan dan meninggalkan larangan Allah.

ii.Mertabat al-Muridin.Tahap ini menurut T.P.M  ialah seseorang yang berhajat kepada anugerah Allah dan sentiasa merujuk kepada Allah samada dalam kebahagiaan atau kesengsaraan.Kesenangan akan disusuli dengan ucapan kesyukuran AlHamduliLlah.Manakala kedukacitaan diiringi dengan mohon perlindungan Allah.Orang-orang yang dalam tahap ini sentiasa melaksanakan ketaatan kepada Allah untuk mendapat pertunjuk dan limpah kurniaan Allah.harapan mereka semuga mereka dilimpahkan rahsia-rahsia halus dan baik daripada Allah SWT.iii.Mertabat al-‘Arifin.Mereka bukan sahaja mengharapkan kurniaan Allah SWT ,malah sentiasa redha dan suka dengan ketentuan Allah.T.P.M. menyatakan setengah mereka itu adalah alamat yang ketiga itu iaitu orang yang menyerahkan dirinya dan diam di bawah perintah segala hukum iaitu orang yang menilik kepada Tuhannya dan fana` daripada dirinya.

Rumusannya : Pada tahap pertama apabila seseorang itu melaksanakan perbuatan maksiat dalam ertikata yang luas,seperti tidak menjalankan perintah Allah SWT mengkibatkan kurang harapannya kepada Allah.Harapan dan pergantungannya kepada Allah hanya apabila dia beramal.Sebaliknya harapannya merosot apabila kurang amal dan usahanya.Tahap kedua pun seseorang itu masih bergantung kepada amal dan usahanya.Semakin kuat dia beribadat semakin tinggi pengharapannya,sebaliknya semakin kurang beribadat menyebabkan dia pesimistik.Inilah akibat bergantung kepada usaha dan ikhtiar tidak bergantung kepada Allah SWT.Tingkatan ketiga pula adalah tahap kesempurnaan keadaan hati.Apabila seseorang itu telah sampai ke tahap ini dia akan fana` dan tenggelam dalam qudrat dan iradat Allah.Satu-satunya jalan untuk mencapai tahap ini adalah bermujahadah. Untuk memerangi nafsu yang negatif ialah dengan melatih diri mematuhi perintah Allah dan menjauhi laranganNya dengan penuh ikhlas dan redha.Perlu diingat pencapaian seseorang ke mertabat ini adalah ketentuan Allah dan anugerahNya jua.

Hikmah Kedua : Ketentuan Allah dan Ikhtiar Manusia

إرادتك التجريد مع إقامة الله إياك في الأسباب من الشهوة    ا لخفية، وإ رادتك الأسباب مع إقامة الله إياك في التجريد انحطاط عن الهمة العلية

Maksudnya :Kemahuan anda untuk bertajrid ( menyerahkan seluruh pengharapan kepada Allah ) di sisi Allah,walhal Allah menjadikan anda terikat dengan asbab ( sebab dan akibat ).Ia merupakan syahwat atau keinginan yang tersembunyi.Sebaliknya anda berkemahuan terikat dengan asbab ( hukum sebab dan akibat ),sedangkan Allah menganugerahkan anda berada dalam keadaan tajrid.Ia bermakna anda turun daripada penentuan yang tertinggi.

Al-Tajrid bererti tidak lagi berbimbang-bimbang dengan asbab lantaran seseorang itu telah mencapai mertabat tawakkal yang tertinggi.

Al-Asbab pula bermaksud sesuatu yang sampai dengannya kepada matlamat yang boleh dicapai di dunia ini.Umpamanya mencari rezeki yang halal melalui perniagaan dan bekerja yang diredhai Allah.

Dua kategori manusia dalam konteks pencarian hidup di dunia :

  1. Manusia yang ditentukan Allah pada mertabat al-Asbab : Golongan ini bekerja mencari rezeki yang halal.Mereka pada kedudukan ini tidak boleh berhenti bekerja kerana bekerja itu sendiri adalah ibadat.Mereka yang meninggalkan pekerjaan semata-mata untuk beribadat kepada Allah sebenarnya sedang dirasuk oleh nafsu atau syahwat yang tersembunyi dan memperdayanya.
  2. Manusia yang ditentukan Allah pada mertabat Tajrid : Status ini adalah anugerah Allah yang tertinggi kepada sesiapa yang dikehendakiNya.Penghidupannya dipermudahkan oleh Allah sehingga dia tidak perlu bersusah payah dan berbimbang-bimbang lagi dengan urusan mencari penghidupan kebendaan.Malah rezeki pula yang datang bergolek kepadanya.

Golongan ini walaupun mereka bekerja tetapi pekerjaan tidak mengganggu pemikiran dan tumpuan kepada beribadat.Inilah konsep ketaqwaan yang difirman oleh Allah SWT :

ومن يتق الله يجعل له مخرجا ويرزقه من حيث لا يحتسب ومن يتوكل علي الله فهو حسبه إن الله بالغ أمره قد جعل الله لكل شيء قدرا

Ertinya :Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah maka Allah akan mengurniakannya jalan keluar.Dan Allah akan menganugerahkannya rezeki dari sumber yang tidak disangkanya.Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah,maka Allah akan mencukupkan keperluannya.Sesungguhnya Allah itu melaksanakan kehendakNya dan sesungguhnya Allah juga telah menentukan kadar setiap sesuatu itu. ( Surah al-Talaq ayat 2-3 )

Hamba-hamba Allah yang telah diangkat derjatnya ke status tajrid tidak perlu lagi menurunkan dirinya ke derjat al-asbab.Tindakan itu telah menjatuhkannya dan mengenepikan ketentuan Allah keatasnya.

Tuan To’ Pulau Manis ( T.P.M. ) merumuskan pandangan Syeikh al-Hijazi mengenai tiga tahap kemahuan atau al-Iradah :

  1. Iradat al-Tab’iy iaitu kemahuan nafsu yang rendah dan keluar daripada kehendak ini adalah wajib.
  2. Iradat al-Tamanni iaitu kemahuan orang yang bertawajjuh atau menuju kepada keredhaan Allah.
  3. Iradat al-haq iaitu kemahuan orang yang ikhlas yang hakikatnya menyucikan diri daripada kecintaan yang lain daripada Allah dan yang dianggap najis syirik yang jali ( terang ) dan syirik yang khafi ( tersembunyi ).

Beberapa Rumusan :

  • T.P.M. menyatakan tajrid bagi ahl al-tariq ialah menghilang akuan hati dan sirr dan ia merupakan mertabat yang tinggi.
  • Orang yang mencapai mertabat khawas tidak wajar turun ke mertabat awwam.
  • Asbab itu bagi orang ahl al-Bidayah yang menjalani jalan ahl al-tawajjuh iaitu orang yang menumpu perhatian dan pengharapannya kepada keredhaan Allah.
  • Tajrid pula adalah ahl al-muwajahah yang sampai mereka atau tenggelam dalam kemesraan dan kejeliraan jiwa mereka.Mereka disebut ahl al-jazb yang tenggelam,fana` iaitu peleburan diri di hadapan kebesaran Allah.

Keinginan Manusia Tidak Berupaya Mengubah Takdir

 

سوابق الهمم لا تخرق أسوار الأقدار

 

Maksudnya : Keinginan yang membuak-buak tidak berupaya memecahkan benteng-benteng takdir

Imam Abu Hasan al-Asy’ari dan al-Asya’irah mentakrifkan qadha` :

إرادة الله الأشياء في الأزل علي ما هي عليه فيما لا يزال فهو من صفات الذات عندهم

Kehendak Allah sejak azali ke atas segala sesuatu mengikut keadaannya pada waktu adanya.Qadha` adalah termasuk sifat bagi zat Allah di sisi mereka ( al-Asya’irah ).

Al-Asya’irah menghuraikan qadar sebagai :

إيجاد الله الأشياء علي قدر مخصوص، ووجه معين، كما أراده الله،وهو من صفات الأفعال ( لأنه عبارة عن الإيجاد )

Maksudnya : Allah mencipta segala sesuatu menurut ukuran yang tertentu,bentuk yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah.Al-qadar merupakan sifat perbuatan Allah kerana sesungguhnya ia diibaratkan sebagai penciptaan Allah semata-mata.

Himmah pula merupakan keinginan,nafsu dan kemahuan manusia yang dikategorikan dalam pelbagai situasi antaranya :

  • Ahli sufi menyatakan himmah seorang wali dari segi keyakinannya yang kuat kepada Allah
  • Orang yang beruzlah juga memiliki keinginan yang kuat untuk penyucian jiwanya
  • Ahli maksiat juga memiliki kemahuan yang jahat
  • Ahli sihir pula memiliki tipu daya yang licik.

Menurut To` Pulau Manis himmah terbahagi kepada dua,iaitu sughra ( kecil ) dan kubra ( besar ).Himmah sughra iaitu keinginan yang tunduk kepada ujian dan cabaran yang menimpa.Adapun himmah kubra adalah hati yang berhubung dengan Allah tanpa pemutusan.Orang yang dianugerahkan himmah kubra berpegang bahawa seandainya tiada kehendak Allah ke atas sesuatu usaha maka ikhtiar tidak memberi bekas dan tidak memberi manfaat.

Tegasnya,al-qadar adalah ilmu Allah iaitu ketetapan Allah yang telah dipastikan Allah sejak azali lagi terhadap segala makhlukNya.Al-qadar bertalian dengan ilmu Allah sedangkan ilmu adalah sifat zat Allah yang wajib bagiNya dan mustahil Dia tidak bersifat demikian.Sehubungan ini Rasulullah SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim :

إن سائلا قال : يارسول الله ! ما الإيمان ؟ قال : هو أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الأخروتؤمن بالقدر خيره وشره ، حلوه ومره من الله تعالي

Maksudnya : Seseorang bertanya kepada Rasulullah SAW : Wahai Rasulullah ! Apakah itu iman ? Nabi menjawab : Ia adalah bahawa engkau beriman kepada Allah,para malaikatNya,kitab-kitabNya,para rasulNya,hari akhirat dan beriman kepada qadar Allah baik dan buruknya,manis atau pahitnya adalah datang daripada ketentuan Allah.

Meskipun kita wajib beriman kepada qadha` dan qadar,kita wajib pula berusaha dan berikhtiar untuk mencapai apa yang dicita-citakan dengan izin Allah SWT jua.

Renungkan beberapa firman Allah berikut ini :

1          إنا كل شيء خلقناه بقد ر

Ertinya : Sesungguhnya Kami ( Allah ) telah menjadikan sesuatu menurut ketentuannya. ( Surah al-Qamar : 49 )

2          و ما هم بضا رين به من أحد إلا بإذن الله

Ertinya : Mereka tidak dapat menghilangkan bahaya daripada sesiapa pun kecuali dengan izin Allah SWT

3          لن يصيبنا إلا ما كتب الله لنا هو مولانا وعلي الله فليتوكل المؤ منينقل

Ertinya : Katakanlah ! Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami.Dialah Pelindung kami,dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman wajib bertawakkal. ( Surah al-Tawbah : 51 )

Ketenangan Jiwa Asas Utama Berikhtiar dan Berusaha

 

أرح نفسك من التدبير ، فما قام به غيرك عنك ، لا تقم به لنفسك

 

Maksudnya : Tenangkan dirimu dalam berusaha,lantaran apa juga yang telah menimpa dirimu ditentukan oleh selain daripada dirimu.Justeru itu janganlah campurtangan dalam penentuan itu untuk kepentingan dirimu.

 

Maksud kalam hikmah ini menurut To` Pulau Manis ialah hindari diri daripada berbimbang-bimbang dan rungsing tentang usaha dan pencarian rezeki,asalkan kita telah berusaha.Kembalikan segala usaha dan ikhtiar itu kepada ketentuan Allah yang menetapkan segala-galanya.Disinilah konsep tawakkal,tafwid dan ikhlas dalam penyerahan diri dan pengharapan kepada Allah SWT.

 

Tadbir yang dimaksudkan dalam konteks ini ialah bahawa menentukan seseorang pada dirinya hal ehwal  yang ditentukan oleh syahwat dan keinginannya semata-mata,walhal keinginan itu terikat dengan sentimen dan jangkauan pandangan yang terhad dan sempit.Justeru itu seseorang akan mengatur segala sesuatu berdasarkan syahwatnya yang berkisar dalam keakuan dan keegoannya.

 

Sebenarnya tadbir atau usaha ikhtiar hanya terbatas dalam perkara-perkara material dan keduniaan semata-mata yang terjangkau oleh kudrat manusia yang terbatas dan kerdil di hadapan takdir Yang Maha Agung.Sebaliknya perkara-perkara ghaybiyyat dan metafizik adalah diluar jangkauan insani yang daif.Oleh yang demikian tadbir wajiblah disusuli dengan tawakkal dan tafwid kepada Allah.Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda :

 

التدبير نصف المعيشة

Yang bermaksud : Tadbir adalah separuh daripada penghidupan.

 

Sehubungan persoalan ini Abu Muhammad Sahl bin Abdullah Tasturiy md 283 H berkata :

للعباد علي الله ثلاثة أشياء :تكليفهم وأجالهم والقيام بأمرهم. ولله علي العباد ثلاثة أشياء : إتباع نبيه والتوكل عليه والصبر علي ذلك إلي الموت

Maksudnya :Hak Allah ke atas hamba-hambaNya terdiri daripada tiga perkara:

 

1        Menetapkan peraturan-peraturanNya untuk dilaksanakan oleh hamba-hambaNya

2        Menentukan ajal-ajal mereka

3        Menguasai urusan kehidupan mereka.

 

Manakala kewajipan hamba-hamba kepada Allah terdiri daripada tiga perkara :

 

1        Mengikut jejak langkah nabiNya

2        Tawakkal yakni menyerahkan kepada Allah segala urusan penentuan terhadap segala usaha ikhtiar mereka

3        Bersabar terhadap segala penentuan Allah ke atas diri mereka sehingga mereka meninggalkan dunia yang fana ini.

Kesimpulannya usaha dan tadbir adalah kurniaan dan rahmat Allah ke atas manusia untuk mereka memilihnya dan mencari penyelesaian sambil mereka wajib menyerahkan urusan penentuan di tangan qudrat dan iradat Allah Yang Maha Berkuasa Lagi Maha Mengetahui.Tiga gagasan yang dibentangkan tadi ialah pertama: beriltizam dengan ajaran serta sunnah Nabi Muhammad SAW,diikuti dengan bertawakkal sepenuhnya dan sesempurnanya kepada takdir Allah dalam membuat penentuan dan keputusan ke atas tadbir hamba-hambaNya dan akhir sekali bersabar dan redha dengan segala qadha` dan qadar Allah yang telah ditimpakan ke atas hamba-hamba dan makhlukNya.

Hikmah Kelima:Tanda-tanda Matahati Tertutup

 

إجتهادك فيما ضمن لك ,وتقصيرك فيما طلب منك،  د ليل علي إنطماس البصيرة منك

 

Maksudnya : Anda memiliki kesungguhan didalam melaksanakan sesuatu yang telah diberi jaminan ( rezeki ),sebaliknya anda kurang bersungguh-sungguh melaksanakan apa yang telah dituntut ( yakni beribadah kepada Allah ).Keadaan ini menunjukkan anda tertutup mata hati ( daripada melihat Iradah Allah ke atas makhlukNya ).

 

  • Ijtihad bermaksud kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu tugas tanpa mengenal penat dan lelah demi mencapai sesuatu tujuan.
  • Taqsir pula membawa erti kekurangan atau meninggalkan sesuatu tugas akibat kelalaian dan kurang perhatian.Ia juga bermakna seseorang yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna.
  • Basirah ertinya mata yang terdapat di dalam hati yang dapat melihat segala sesuatu yang maknawi dan abstrak yang tidak dapat dijangkau oleh pancaindera yang zahir.

Menurut To` Pulau Manis ( TPM ), mata hati adalah nur atau cahaya yang dianugerah oleh Allah ke dalam hati seseorang yang membolehkannya mengetahui iradat Allah hasil daripada muraqabahnya melalui penyucian jiwa yang menyebabkan dia tidak lagi berbimbang-bimbang dengan yang lain daripada Allah.

Kalam hikmah kelima ini menyarankan kepada kita agar jangan keterlaluan dalam usaha mencari rezeki yang memang telah dijamin oleh Allah.Sehubungan ini kaum Muslimin dianjurkan berusaha membanting tulang dan memerah fikiran dalam rangka mencari rezeki yang halal tetapi jangan sampai lupa diri,sehingga seluruh perhatian mereka ditumpukan kepada perkara-perkara duniawi sahaja.Apabila perhatian mereka ditumpukan kepada kejayaan sebelum mati atau duniawi nescaya mereka akan kurang tumpuan kepada usaha-usaha kea rah kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan akhirat atau selepas mati.

TPM memetik rumusan falsafah seorang hukama` yang bernama Sahl bin Abdullah:

Apabila seseorang hamba Allah ditaklifkan atau dibebankan dengan tugas dan tanggungjawab mereka hendaklah melaksanakan tiga perkara,iaitu ;

i.          Bertawakkal kepada Allah      ii.         Beriltizam terhadap sunnah Nabi Muhammad SAW            iii.        Bersabar dan beristiqamah sehingga menemui kematian

Dalam konteks jaminan Allah terhadap hamba-hambaNya tentang rezekiNya serta

beristiqamah dengan ajaran agamaNya,boleh direnungi firman-firman Allah SWT berikut ini :

1                وكأين من دابة لا تحمل رزقها , الله يرزقها وإياكم وهو السميع العليم

Maksudnya : Dan berapa banyak di kalangan haiwan yang tidak membawa rezekinya sendiri.Allah lah yang memberi rezeki kepadanya dan juga kepada kamu, dan Dialah Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ( Surah Al-Ankabut : ayat 60 )

 

2          وأمر أهلك بالصلا ة واصطبر عليها ، لا نسئلك رزقا ، نحن نرزقك والعاقبة للتقوى

Maksudnya : Dan suruhlah ahlimu ( keluarga atau pengikutmu ) bersholat dan tetaplah mengerjakannya.Kami tidak meminta rezeki kepadamu,sebenarnya Kami lah yang telah memberi rezeki kepada mu dan balasan yang baik adalah untuk mereka yang memelihara diri daripada kejahatan. ( Surah Thaha ayat 132 ).

Kesimpulannya antara tanda-tanda orang yang tenggelam dalam usaha mencari rezeki yang telah dijamin oleh Allah ialah :

i.        Timbul penyesalan apabila sesuatu yang telah diberikan oleh Allah dicabut kembali dan luput daripada pemilikan mereka

ii.       Ketiadaan taqwa di dalam hati sehingga membelakangi dasar halal / haram

iii.      Lalai daripada menunaikan hak dan tanggungjawab

Sebaliknya orang-orang yang berusaha dan bekerja berlandaskan taqwa pula memiliki kreiteria berikut :

a.       Redha dengan apa yang ditentukan Allah ( الرضا بالواقع )

b.       Bertaqwa dalam pencarian rezeki (  التقوى في الطلب )

c.       Memelihara adab dan akhlak dalam mengendalikan usaha dan ikhtiarnya (  حفظ الأدب في الأسباب  )

DO’A : INTERAKSI LANGSUNG DENGAN ALLAH

 

لا يكن تأخر أمد العطاء مع  اللإلحاح  في الدعاء موجبا ليأسك،

فهو ضمن لك الإجابة، فيما يختار لك، لا فيما تختار لنفسك،

وفي الوقت الذي يريد، لا في الوقت الذي تريد

Maksudnya :

Janganlah andainya lambat termakbulnya do’a,walhal anda telah bersungguh-sungguh memohon menyebabkan putus harapan anda kepada rahmat Allah.Sesungguhnya Allah sentiasa menjamin untuk memperkenankan do’a anda berdasarkan apa yang dipilihNya bukannya berdasarkan apa yang anda tentukan.Dan pada masa yang Dia tetapkan bukannya masa yang anda tentukan.

  • Do’a dan munajat adalah petanda dan isyarat perhambaan dan pengharapan kita kepada Allah yang merupakan Pencipta,Pengatur dan Pemilik Yang Mutlak.Justeru itu al-Quran mengisytiharkan orang yang enggan berdo’a adalah orang yang angkuh dan tidak mengenal dirinya sebagai makhluk serta hamba yang kerdil,hina dan lemah dihadapan qudrat dan iradat Allah Yang Maha Agung dan Maha Perkasa.
  • Firman Allah SWT :

وقال ربكم ادعوني أستجب لكم،إن الذين يستكبرون عن عبادتي سيدخلون جهنم داخرين

Maksudnya :          Dan Tuhan kamu berfirman : Berdo’alah kepada Ku,nanti Ku perkenankan ( permintaan ) kamu itu.Sesungguhnya orang yang menyombongkan dirinya dari menyembahKu,akan masuk neraka jahannam dengan kehinaan. ( Surah al-Mu’min ayat 60 )

  • Tiga golongan manusia yang berdo’a kepada Allah :

i         Orang yang berdo’a dengan menyerahkan kepada Allah untuk memakbulkan atau sebaliknya.Golongan ini diredha Allah

ii        Orang yang berdo’a dengan penuh optimis.Apabila tidak dimakbulkan permohonannya lantas mereka meyakini bahawa do’a itu tidak memenuhi syarat yang dikehendaki Allah seperti mereka memakan harta yang haram atau belum melaksanakan perintah Allah dengan sempurna.Apabila dimakbulkan doa tersebut mereka bersyukur kepada Allah.

iii       Golongan yang berdo’a kepada Allah tetapi amalan-amalannya bercanggah dengan peraturan Allah.Apabila tidak dimakbulkan do’anya lantas timbul keraguan dan sifat pesimis serta berputus asa.

  • Rasulullah SAW bersabda :

ما من مسلم يدعو بدعوة ليس فيهم إثم ، ولا قطيعة رحم ، إلا أعطاه الله بها إحدي ثلاث : إما أن يعجل له دعوته ، وإما أن يدخرها له في الأخرة ، وإما أن يصرف عنه من السوء مثلها ، قالوا إذن نكثر ! قال : الله أكثر.

Maksudnya :Semestinya seseorang Muslim yang berdo’a tanpa mengiringi dengan dosa serta tanpa memutuskan sillaturrahim,nescaya Allah akan menganugerahkannya salah satu daripada tiga keadaan :

i        Allah memperkenankan do’anya

ii       Allah menyimpan permohonan tersebut untuk dibalas di akhirat

iii      Allah menghindarkannya daripada kejahatan sebagaimana yang dipintanya.

Para sahabat bertanya : Kalau begitu sebaik-baiknya kita membanyakkan Do’a. Rasulullah SAW bersabda : Nescaya Allah akan memperbanyakkan pemberianNya.

( Hadis Riwayat Abu Sa’id al-Khudri yang dipetik oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan al-Hakim )

  • Waktu dimakbulkan do’a itu adalah hak mutlak Allah dan bagaimana ketentuan atau kesudahan do’a itu juga adalah hak mutlak Allah.Bila kita menerima hakikat tersebut kita tidak akan memaksa Allah untuk memperkenankan do’a kita.Mohonlah kepada Allah untuk menganugerahkan apa yang baik di sisiNya bukan apa yang baik di sisi kita.

Hikmah 7:OPTIMISME KEPADA JANJI ALLAH

لا يشككنك في الوعد عدم وقوع الموعود ، وإن تعين زمنه ، لئلا يكون ذلك قدحا في بصيرتك ، وإخمادا لنور سريرتك

 

Maksudnya:”Janganlah anda merasa sangsi dengan janji Allah lantaran belum terjadi apa yang dijanjikan itu,meskipun masanya telah ditentukan.Keadaan seperti ini janganlah kiranya ada keraguan yang boleh mencalarkan mata hati anda dan memalapkan cahaya rahsia hati anda.”

Menurut To` Pulau Manis kalam hikmah ini menyarankan kepada orang yang menjalani jalan Allah supaya :

  • Mengenali qadar atau ketentuan Allah
  • Beradab dengan Tuhannya
  • Meyakini semua janji Allah
  • Tetap pendiriannya serta tidak meragui janji Allah
  • Tidak berubah i’tiqadnya dalam berpegang dengan janji Allah

Sebagaimana firman Allah SWT:

وَمَن يَتَّقِ ٱللَّهَ يَجۡعَل لَّهُ ۥ مَخۡرَجً۬ا  وَيَرۡزُقۡهُ مِنۡ حَيۡثُ لَا يَحۡتَسِبُ‌ۚ وَمَن يَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ فَهُوَ حَسۡبُهُ ۥۤ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ بَـٰلِغُ أَمۡرِهِۦ‌ۚ قَدۡ جَعَلَ ٱللَّهُ لِكُلِّ شَىۡءٍ۬ قَدۡرً۬ا

Maksudnya: Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengurniakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.Surah al-Thalaq ayat 2-3.

Seandainya kelima-lima asas di atas dihayatinya maka termasuklah dia ke dalam kelompok golongan yang ‘arif biLlah.

  • Justeru itu orang salik pada jalan Allah sentiasa menyerahkan diri bertawakkal kepada Allah dalam keadaan bersyukur atau optimis samada ketika mereka diperintahkan atau ketika mereka ditegah daripada melakukan sesuatu perkara.
  • Orang-orang yang meragui kebenaran janji Allah atau bersifat pesimis adalah orang yang buta atau tertutup mata hatinya akibat nur cahaya yang sepatutnya terpancar di dalam hati tidak berupaya menjadi wasithah yang meneguhkan iman mereka.
  • Nur itu sepatutnya memperolehi pertunjuk akal yang memandu mereka mendapat anugerah Allah dalam bentuk asrar rububiyyah ( rahsia pentadbiran kerajaan Allah ke atas makhlukNya ).
  • Apabila Allah mengurniakan nur itu menjadi sucilah hati mereka daripada syirik yang tersembunyi.Selanjutnya terbukalah mata hatinya dengan nur al-hidayah sehingga mereka dikurniakan mahabbah yang menyebabkan mereka tidak lagi bergantung kepada amalan dan usaha tetapi semata-mata mengharapkan pertolongan dan hidayah Allah jua dalam segala hal.

Sesiapa yang diberi hikmah iaiatu sentiasa beriman dan optimis dengan janji Allah mereka telah mencapai kedudukan ‘arif biLlah ( yang benar-benar mengenal Allah ),salimul basirah ( yang sejahtera mata hati ) dan munawwar sarirah ( yang bercahaya mata hati mereka ).

Hikmah ke 8

MA’RIFAH ADALAH ANUGERAH ALLAH

 

إذا فتح لك وجهة من التعرف ، فلا تبال معها ، إن قل عملك . فإنه ما فتحها لك ، إلا وهو يريد أن يتعرف إليك.ألم تعلم أن التعرف هو مورده عليك ، والأعمال أنت مهديها إليه ، وأين ما تهديه إليه مما هو مورده عليك ؟!

 

Maksudnya : Apabila Allah menyingkap bagimu suatu landasan ke arah mengenaliNya, janganlah risau tentang kekurangan amalanmu.Sebenarnya Dia membongkarkan jalan ma’rifah itu adalah menurut kehendakNya untuk memperkenalkan diNya kepadamu.Tidakkah kamu sedar bahawa ma’rifah adalah anugerahNya kepadamu ? Selanjutnya amalan-amalanmu adalah ditujukan kepadaNya.Dimanakah kedudukan amalan anda yang sedikit itu jika dibandingkan dengan anugerah agung Allah kepadamu ?

 

Ma’rifah merupakan kurniaan terawal ( أول المواهب  ) dan tuntutan terakhir (  نهاية المطالب ) seseorang yang menjalani jalan Allah.Justeru itu apabila anda dianugerahi ma’rifah bermakna anda adalah tergolong dalam kelompok manusia yang dikasihi dikasihi Allah.

Golongan yang dikasihi Allah ini diklasifikasikan oleh To` Pulau Manis kepada tiga kelompok :

  • أهل العنايات وأهل التحقيق

( Golongan yang mendapat pertolongan dan diberikan keyakinan ) Mereka beramal seperti bersedekah,bersholat,berpuasa,berzakat dan seumpamanya kerana Allah.Berikutan itu mereka mendapat ilham,taufiq dan hidayah yang menuju kepada ma’rifah dan mukasyafah ( pembongkaran rahsia ilmu Allah ).

  • أهل المقام

Golongan yang dianugerahkan kedudukan dan mertabat ) Mereka diberikan kemudahan dalam beramal tanpa halangan tetapi dianugerahkan pertunjuk dan ma’rifah.

  • أهل الأعمال

( Golongan yang beramal )  Mereka bermujahadah iaitu menanggung kesukaran serta menempuh godaan hawa nafsu.Berikutan itu mereka dikurniakan ma’rifah dan hidayah Allah.

 

Jelas di sini bahawa Islam mementingkan kualiti amal melebihi kuantitinya.Walaupun sedikit tetapi ikhlas,berterusan,sentiasa bermuhasabah dan mengiringi amalan itu dengan sifat-sifat akhlak yang mahmudah ( terpuji ) lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak ikhlas,tidak istiqamah,cuai,lalai serta diiringi dengan sifat-sifat akhlak yang mazmumah ( tercela ) seperti sifat ‘ujub( merasa hairan kepada kehebatan diri sendiri ),sum’ah ( terpesona dengan kelebihan sendiri ),kibr ( berbesar diri ),berbangga-bangga dan riya`( ingin dipuji dan disanjung ).

Firman-firman Allah SWT berikut boleh dijadikan sandarannya :

  • فويل للمصلين الذين هم عن صلاتهم ساهون الذين هم يرآءون

Ertinya : Sebab itu celakalah orang-orang yang sholat,iaitu mereka yang lalai dalam sholatnya.Mereka mengerjakan kebaikan supaya dilihat orang ( riya` ).

( Surah al-Maa’un : ayat 4-6 )

  • لن ينال الله لحومها ولا دمآؤها ولكن يناله التقوي منكم كذلك سخرها لكم لتكبروا الله علي ما هدآكم وبشر المحسنين

Ertinya :  Daging-daging qurban dan darahnya itu sekali-kali tidak akan mencapai keredhaan Allah,tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya.Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu.Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. ( Surah al-Hajj : ayat 37 )

 

  • يآءيها الذين ءآمنوا لا تبطلوا صدقاتكم بالمن والأذي كالذي رئآء الناس ولا يؤمن بالله واليوم الأخر فمثله كمثل صفوانٍِ عليه تراب فأصابه وابل فتركه صلدا لا يقدرون علي شيء مما كسبوا والله لا يهدي القوم الكافرين

Ertinya :Wahai orang-orang yang beriman,janganlah kamu menghilangkan ( pahala ) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti ( perasaan penerimanya ),seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riya` kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat.Maka perumpamaan orang itu seperti batu licin yang di atasnya ada tanah,kemudian batu itu ditimpa hujan lebat ,lalu menjadilah ia bersih ( tidak bertanah ).Mereka tidak menguasai sesuatupun dari apa yang mereka usahakan;dan Allah tidak memberi pertunjuk kepada orang-orang yang kafir. ( Surah al-Baqarah : ayat 264 )

Hikmah ke 9:GERAK HATI PENENTU KUALITI AMALAN

 

تنوعت أجناس الأعمال ، لتنوع واردات الأحوال

Maksudnya :Pelbagai jenis amalan dikerjakan . ia adalah natijah daripada pelbagai dorongan yang datang daripada gerak hati

  • Al-`A’mal  di sini merujuk kepada gerakan zahir atau disebut al-harakat al-jismaniyyah yang bererti gerak geri yang berkaitan dengan tubuh badan manusia yang lahiriah.
  • Al-`Ahwal   adalah hal ehwal dalaman atau kejiwaan yang disebut al-harakat al-qalbiyyah yang bererti gerak geri yang berkaitan dengan hati.
  • Waridat di sini bermaksud lintasan yang menyelinap ke dalam hati yang setengahnya adalah ma’arif rabbaniyyah ( membawa kepada mengenali Allah ) dan asrar ruhaniyyah ( rahsia-rahsia kerohanian ) yang akan membawa seseorang itu kepada keadaan hati yang dihiasi dengan akhlak yang terpuji seperti redha dengan qadha` Allah,bersyukur,bersabar,rindu dan ‘asyiq dengan Allah SWT semata-mata.
  • Sebahagian daripada lintasan yang menyelinap ke dalam hati mencetuskan haybah ( menimbulkan rasa pengagungan kepada Allah SWT )
  • Sebahagiannya pula melahirkan perasaan suka dan sebagainya dalam pelbagai keadaan yang didorong oleh al-ahwal.
  • Justeru al-`a’mal atau perbuatan yang zahir amat dipengaruhi oleh keadaan hati ( al-`ahwal ) yang dikurnia oleh Allah.Contohnya khatir atau lintasan hati yang terpuji akan melahirkan amalan yang sholeh seperti ikhlas,sabar,syaja’ah,hikmah,’iffah,redha dan sebagainya.
  • Imam al-Ghazali rh di dalam kitabnya `Ihya` ‘Ulum al-Din dalam konteks ini membahagikan kepada tiga al-`ahwal   hati,iaitu ;
  • Pertama ; Hati yang diserapi oleh taqwa akan mendorong kepada akhlak yang terpuji dan diredhai Allah.Hati-hati tersebut terhindar daripada penyakit nifaq dan sifat-sifat tercela.Dengan itu lahir sifat-safat mahmudah yang unggul seperti bersyukur,sabar dan merindui Allah.Hati-hati yang sedemikian akan sentiasa tenang,tenteram dan tidak membimbangi unsur-unsur duniawi.Firman Allah SWT :

 

 

 

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَٮِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ طُوبَىٰ لَهُمۡ وَحُسۡنُ مَـَٔابٍ۬

Ertinya : Orang-orang yang beriman itu hati mereka menjadi tenteram kerana mengingati Allah.Ingatlah bahawa dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenteram.Orang-orang yang beriman dan mengerjakan perbuatan baik mereka akan memperolehi keuntungan dan tempat kembali yang baik. ( Surah al-Ra’d ayat 28-29 )

  • Kedua ; Hati yang diselubungi hawa nafsu dan menderita dengan penyakit-penyakit yang kronik.Hati-hati itu terbuka untuk dibisik dan digoda oleh iblis dan syaitan serta tertutup rapat daripada diziarahi para malaikat.Hati-hati sedemikian menjadi gelap hitam terlalu mencintai dunia,takut mati ,tidak tenteram dan iman menjadi lemah.Firman Allah SWT :

أَرَءَيۡتَ مَنِ ٱتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ ۥ هَوَٮٰهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيۡهِ وَڪِيلاً أَمۡ تَحۡسَبُ أَنَّ أَڪۡثَرَهُمۡ يَسۡمَعُونَ أَوۡ يَعۡقِلُونَ‌ۚ إِنۡ هُمۡ إِلَّا كَٱلۡأَنۡعَـٰمِ‌ۖ بَلۡ هُمۡ أَضَلُّ سَبِيلاً

Ertinya : Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil kemahuan nafsunya menjadi Tuhannya ?  Engkaukah yang menjadi penjaganya ?  Apakah engkau mengira bahawa kebanyakan mereka mendengar atau mengerti ?  Tidak ! Mereka adalah sebagai binatang ternak,bahkan lebih sesat lagi jalannya. ( Surah al-Furqan ayat 43-44 )

  • Ketiga : Hati yang terumbang ambing anatara kebaikan dan kejahatan.Hati-hati tersebut sentiasa ragu serta cenderung kepada kejahatan dan kdang-kadang terlintas kepada kebaikan.Firman Allah SWT dalam kontek ini :

فَمَن يُرِدِ ٱللَّهُ أَن يَهۡدِيَهُ ۥ يَشۡرَحۡ صَدۡرَهُ ۥ لِلۡإِسۡلَـٰمِ‌ۖ وَمَن يُرِدۡ أَن يُضِلَّهُ ۥ يَجۡعَلۡ صَدۡرَهُ ۥ ضَيِّقًا حَرَجً۬ا ڪَأَنَّمَا يَصَّعَّدُ فِى ٱلسَّمَآءِ‌ۚ ڪَذَٲلِكَ يَجۡعَلُ ٱللَّهُ ٱلرِّجۡسَ عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يُؤۡمِنُونَ وَهَـٰذَا صِرَٲطُ رَبِّكَ مُسۡتَقِيمً۬ا‌ۗ قَدۡ فَصَّلۡنَا ٱلۡأَيَـٰتِ لِقَوۡمٍ۬ يَذَّكَّرُونَ

Ertinya : Maka barangsiapa yang hendak dipimpin oleh Allah,nescaya Allah akan membuka hatinya untuk menerima Islam,dan sesiapa yang hendak disesatkanNya maka Allah akan menjadikan dadanya sesak dan sempit seperti orang-orang yang mendaki ke langit.Yang demikian itu Allah menimpakan siksaNya ke atas orang-orang yang tidak beriman.Dan inilah jalan Tuhanmu ,jalan yang lurus.Sesungguhnya Kami telah menjelaskan ayat-ayat Kami kepada orang-orang yang mengambil peringatan. ( Surah al-An’am ayat 125-126 )

Hikmah ke 10:KEIKHLASAN MENJANA KUALITI AMALAN

 

الأعمال صورة قائمة ، وأرواحها وجود سر الإخلاص فيها

Maksudnya :Amalan-amalan luaran merupakan gambaran yang ditegakkan secara fizikal,sedangkan rahsia keikhlasan yang tersirat kukuh didalamnya yang menjana kualiti amalan itu.

Menurut Abu Ismail al-Harawi ( md 481 ) di dalam kitabnya Manazil al-Sa`irin,ikhlas merupakan penyucian amalan daripada kekotoran nafsu. Seperti sifat riya` atau mahu memperlihatkan kebaikannya untuk mendapat sanjungan,penghormatan dan pangkat.

Al-Muhasibi di dalam al-Ri’ayah Li HuquqiLlah menyatakan bahawa ikhlas adalah pencapaian yang terbaik orang-orang yang kuat pegangan dan amalan keagamaannya khususnya di kalangan ahli-ahli ibadah.

Al-Qusyayri di dalam al-Risalah al-Qusyayriyahnya memetik sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. tentang ikhlas :

ثلاث لا يغل عليهن قلب مسلم : إخلاص العمل لله ، ومناصحة ولاة الأمور ، ولزوم جماعة المسلمين

Maksudnya : Tiga amalan yang memantapkan hati seseorang Muslim : amalan yang ikhlas kerana Allah,menasihati pemimpin umat Islam dan sentiasa bersama jama’ah kaum Muslimin.

Bertolak daripada hadis tersebut al-Qusyayri merumuskan ikhlas sebagai mengesakan Allah SWT di dalam melaksanakan apa jua bentuk ketaatan kepada dan  kerana Allah SWT semata-mata.Kepatuhan itu dilaksanakan dalam rangka menghampirkan diri kepada Allah dan bukan kerana tujuan yang lain daripadaNya seperti melakukan kebaikan untuk mendapat sanjungan,penghargaan dan populariti di kalangan manusia.

Sehubungan Zu Nun al-Misri menggariskan tiga petanda ikhlas ,iaitu :

1.Pujian dan celaan manusia dianggap sama sahaja

2.Seseorang itu lupa untuk mempamerkan kebaikan ketika mengerjakannya

3.Lupa untuk mendapat pembalasan daripada amalannya itu di akhirat kelak.

To` Pulau Manis mengemukakan tiga mertabat orang-orang yang ikhlas,iaitu :

1.Ikhlas orang-orang mukhlisin atau al-ibad yang amalannya ikhlas tanpa bercampur dengan riya`.Dia beramal kerana Allah serta mengharapkan pahala daripada Allah dan memohon agar dihindarkan daripada mereka segala azab siksa Allah.

2.Ikhlas orang-orang muhibbin yang beramal bukan setakat untuk mencapai pahala kebaikan atau menghindari azab siksa Allah tetapi melaksanakan apa jua ketaatan kerana kasih dan cinta kepada Allah.Sebagaimana yang diungkapkan oleh Rabi’ah al-‘Adawiyyah :

كلهم يعبدونك من خوف نار #  ويرون النجاة حظا جزيلا

أو بأن يسكنوا الجنان فيحظوا #  بقصور ويشربوا سلسبيلا

ليس بالجنان والنار حظ #  أنا لا أبتغي بحبي بديلا .

 

Maksudnya :Semua manusia menyembahmu Ya Allah kerana takut kepada neraka,dan mereka melihat keuntungan yang besar apabila terlepas daripada siksaan-siksaan.Atau mereka bermaksud supaya dapat mendiami syurga-syurga,maka mereka beruntung mendiami istananya dan dapat meminum salsabil daripada sungainya.Tiada erti keuntungan bagiku dengan mendapatkan syurga dan jauh daripada neraka,kerana aku tidak menghendaki ganti dengan apa pun jua selain dengan cintaku kepada Allah ‘Azza wajalla.

Ikhlas orang-orang al-‘arifin dan al-muqarrabun merupakan mertabat tertinggi keikhlasan.Mereka beramal bukan lagi kerana yang lain selain daripada mencari keredaan dan kecintaan Allah SWT.Sebagaimana ungkapan kaum sufi yang menyatakan :

 صحح عملك بالإخلاص ، وصحح إخلاصك بالتبري من الحول والقوة

Ertinya : Betulkanlah amalan anda dengan ikhlas dan betulkanlah keikhlasan anda dengan melepaskan diri dari daya dan kekuatan makhluk.

Hikmah ke 11

PELEBURAN DIRI RAHSIA KESEMPURNAAN IBADAH

 

Peleburan wujud diri menjadi akhlak tertinggi dalam beribadah menurut Ibn ‘AtaiLlah al-Sakandari yang mengungkapkan :

إدفن وجودك في أرض الخمول ، فما نبت مما لم يدفن لم يتم نتاجه

Maksudnya : Kebumikanlah kewujudanmu di perut bumi yang sepi,lantaran sesuatu yang tumbuh daripada benih yang tidah ditanam tidak pernah sempurna hasilnya.

*Tuan Syeikh To` Pulau Manis Trengganu menjelaskan bahawa Ibn ‘AtaiLlah mengisyaratkan tentang intipati ikhlas dalam beribadah sehingga seseorang yang menjalani jalan beribadah kepada Allah tetapi dia masih berpaling daripada sifat ikhlas dan menurut nafsunya adalah tidak layak dia mendakwa dirinya mencapai maqam mahabbah ( beribadah kerana cinta kepada Allah ).

*Syeikh Ruslan al-Dimasyqi r.a. menyatakan tidak layak seseorang itu dikatakan ikhlas selagi ada yang lain di samping Allah dalam ibadah dan tujuannya.Seseorang yang bermertabat faqir kepada Allah ialah seseorang yang tidak berhajat kepada yang lain daripada Allah baik yang berupa hissiyah ( kebendaan ) atau ma’nawiyah ( bukan kebendaan ) sekalipun serta dia sentiasa terhijab atau terdinding daripada segala aghyar ( debu-debu makhluk Allah ).

*Tiga golongan manusia dalam konteks ahwal al-qalb ( keadaan hatinya ) :

i         Cintakan sesuatu kerana nafsu

ii        Bencikan sesuatu kerana nafsu

iii       Mereka yang menyerahkan segala perkara menurut arahan Allah SWT

*Ibrahim bin Adham r.a. berkata seseorang yang cintakan sesuatu kerana  nafsunya  adalah dikira seseorang yang tidak membenarkan atau tidak beriman kepada Allah SWT.

*Tawadhu’ adalah sifat yang sejajar dengan apa yang diutarakan oleh Ibn ‘AtaIllah dalam ungkapannya itu.Dengan kata-kata lain seseorang yang beribadah dalam rangka menghampirkan diri kepada Allah hendaklah bersifat tawadhu’ iaitu merendah diri.Tidak menjalankan sesuatu usaha untuk mengejar kemasyhuran,dikenal orang  dan disanjung di mana-mana sahaja.

*Ia wajib menguburkan sifat riya`,ujub dan kibr ke dalam bumi yang sepi.Iaitu tidak menonjolkan diri mencipta nama dan kemasyhuran serta tidak mengejar pangkat dan kedudukan di sisi pandangan manusia.

*Sifat tawadhu’ menurut Imam Abu Ismail al-Harawi ialah rasa rendah diri,tenang dan tunduk kepada kebenaran.Sebagaimana firman Allah :

وعِبَادُ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلَّذِينَ يَمۡشُونَ عَلَى ٱلۡأَرۡضِ هَوۡنً۬ا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ ٱلۡجَـٰهِلُونَ قَالُواْ سَلَـٰمً۬ا

Maksudnya : Dan hamba-hamba Allah Yang Maha Penyayang ialah mereka yang berjalan di bumi dengan merendah diri dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab menghadap kata-kata kepada mereka,mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.( Surah al-Furqan ayat 63 )

*Terdapat tiga tahap tawadhu’ menurut al-Harawi :

i         Tawadhu’ dengan agama iaitu tunduk dan patuh kepada ajaran agama atau menghormati perintah agama

ii        Redha atau berpuas hati dengan kebenaran serta menganggap setiap Muslim adalah saudaranya

iii       Tawadhu’ dengan Allah SWT.

*Al-Imam al-Qusyayri mengaitkan tawadhu’ dengan khusyu’.Dalam konteks ini khusyu’ bermakna terikat dengan kebenaran ( al-Inqiyad lilhaq ) sedangkan tawadhu’ bermakna menyerah diri kepada kebenaran ( al-Istislam lil haq ).

*          Sufyan al-Thawri merumuskan lima golongan manusia yang paling mulia :

i         Seorang ‘alim yang zahid atau zuhud ( عالم زاهد )

ii        Seorang faqih yang sufi فقيه صوفي  )

iii       Seorang hartawan yang tawadhu’غني متواضع  )

iv       Seorang fakir yang bersyukur  (  فقير شاكر  )

v        Seorang kenamaan ( syarif ) yang mengikut sunnah  (  شريف سني  )

Hikmah ke 12

UZLAH POSITIF MEMBUKA UFUK FIKIRAN

 

ما نفع القلب شيء مثل عزلة يدخل بها ميدان فكرة

Maksudnya :Sesuatu yang memanfaatkan hati ialah umpama uzlah ( pengasingan diri ) yang positif yang mendorong seseorang ke lapangan berfikir yang luas

  • Menurut al-Imam al-Qusyayri rh khalwah ( bersunyi-sunyi atau bersendirian ) adalah sifat golongan yang terpilih ( ahl al-safwah ).Manakala ‘uzlah pula adalah tanda-tanda orang yang sampai kepada keredhaan Allah ( ahl al-wuslah ).Sebenarnya ber’uzlah dan berkhalwah adalah dalam rangka mencapai kemesraan dan kecintaan kepada Allah ( al-`uns ).
  • Menjadi hak seorang hamba Allah ber’uzlah atau mengasingkan diri daripada makhluk Allah kerana menyelamatkan manusia daripada kejahatan dan keserakahan nafsunya.Dia ber’uzlah bukan bertujuan menyelamatkan dirinya daripada kejahatan makhluk.
  • Al-Qusyayri menyatakan ‘uzlah dalam ertikata yang hakiki ialah mengasingkan diri daripada sifat-sifat yang tercela.Implikasinya ialah perubahan daripada sifat-sifat tercela kepada sifat-sifat yang terpuji.

( اعتزال الخصال المذمومة ، فالتأثير لتبديل الصفات )

  • Abu Ali al-Daqqaq rh menyatakan hendaklah anda berpakaian di tengah-tengah manusia sama dengan apa yang dipakai oleh mereka,makan apa yang dimakan oleh mereka tetapi hendaklah anda bersendirian atau mengasingkan diri anda daripada kemaksiatan mereka kepada Allah SWT.
  • Abu Uthman al-Maghribi menegaskan barangsiapa telah memilih untuk berkhalwah daripada pergaulan hendaklah dia mengasingkan diri daripada semua perbicaraan melainkan perbicaraan yang membawa kepada peringatan kepada Allah,hendaklah dia menjauhkan diri daripada semua keinginan melainkan yang yang membawa kepada keredhaan Tuhannya serta hendaklah dia menjauhkan diri daripada sebarang tuntunan nafsu yang berasaskan al-asbab.Seandainya dia tidak memenuhi gagasan tersebut maka khalwah atau ‘uzlahnya tidak dapat menghindari fitnah dan ujian yang berat.
  • Konsep ‘uzlah sebenarnya adalah jalan untuk mengubati penyakit hati daripada terpengaruh dengan gejala-gejala negatif yang wujud di tengah-tengah masyarakat.Akan tetapi apabila kita memiliki kekuatan akhlak,ilmu dan iman yang mantap kita akan dapat meneruskan kehidupan di tengah-tengah masyarakat dengan menampilkan akhlak yang mulia dan kukuh sebagaimana Sabda Rasulullah SAW :

( ان الله يحب العبد الغني التقي الخفي )

Maksudnya : Sesungguhnya Allah mencintai kepada hambaNya yang kaya, bertaqwa dan menyembunyikan diri ( ber’uzlah ).( Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal daripada Sa’ad bin Abi Waqas )

  • Al-Quran telah mengemukakan kisah pemuda gua ( ashab al-Kahfi ) yang ber’uzlah demi menyelamatkan keimanan mereka daripada pemerintahan Maharaja Decius yang zalim.Firman Allah :

وَإِذِ ٱعۡتَزَلۡتُمُوهُمۡ وَمَا يَعۡبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأۡوُ ۥۤاْ إِلَى ٱلۡكَهۡفِ يَنشُرۡ لَكُمۡ رَبُّكُم مِّن رَّحۡمَتِهِۦ وَيُهَيِّئۡ لَكُم مِّنۡ أَمۡرِكُم مِّرۡفَقً۬ا

Maksudnya : Dan ketika kamu meninggalkan mereka dan apa yang mereka sembah selain Allah,carilah tempat perlindungan dalam gua itu.Semoga Tuhanmu menyebarkan kurniaanNya kepadamu dan menyediakan untukmu apa yang berguna dalam urusan hidupmu itu. ( Surah al-Kahf ayat 16 ).

  • ‘Uzlah terbahagi kepada dua :

i         ‘Uzlah dengan hati dan diri ( secara fizikal )

ii        ‘Uzlah dengan hati sahaja bukan secara fizikal ( ‘uzlah ma’nawiyyah ) Sebagaimana kata Rabi’atul ‘Adawiyyah :

          ولقد جعلتك في الفؤاد محدثي    **  وأبحت جسمي من أراد جلوسي

                   فالجسم مني للجليس مؤانس  **   وحبيب قلبي في الفؤاد أنيسي 

          Maksudnya :

Sungguh aku jadikan Dikau dalam hatiku berbicara, walhal tubuhku ku biarkan duduk di sisi siapa saja.

Maka tubuhku berjinak-jinak dengan siapa yang ku duduk disampingnya, tetapi kecintaan hatiku terpaut erat di sisiMu.

Hikmah ke 13

PEMBONGKARAN MATA HATI MENYERLAHKAN RAHSIA KEAGUNGAN ALLAH

 

كيف يشرق قلب صور الأكوان منطبعة في مرآته ، أم كيف يرحل الي الله وهو مكبل بشهوته ، أم كيف يطمع أن يدخل حضرة الله وهو لم يتطهر من جنابة غفلاته ، أم كيف يرجو أن يفهم دقائق الأسرار وهو لم يتب من هفواته

 

Maksudnya :

 

Bagaimana hati dapat disinari, walhal segala gambaran alam fana` ini terpahat kukuh di cerminannya,atau bagaimanakah mungkin seseorang itu boleh berkelana menuju Allah, walhal segala syahwatnya melingkarinya,atau bagaimanakah seseorang itu memiliki keinginan yang kuat untuk menghadap ke hadirat Allah, walhal junub kelalaian tidak disucikan daripadanya,atau bagaimana mungkin seseorang itu mengharapkan agar dia dapat memahami rahsia-rahsia Ketuhanan yang mendalam, walhal dia masih belum bertaubat daripada segala kekejian dan kejelekannya.

 

  • To` Pulau Manis merumuskan bahawa hati itu adalah rahsia yang amat halus ( sir latif ).Ia adalah anugerah Allah yang pada zahirnya terletak pada bahagian dada kiri manusia.Segumpal daging itu dianalogikan sebagai kenderaan hati,seluruh anggota manusia menjadi tenteranya.Hati diibaratkan sebagai raja yang memiliki dua wajah.Wajah pertama menghadap kepada diri dan tenteranya dan satu wajah lagi menghadap Tuhannya.Akal pula dianalogikan sebagai mata bagi hati.Andainya akal disirami cahaya ilmu Allah maka menjadi baik dan tenteramlah hati.
  • Tambatan syahwat mengakibatkan terhalang hati daripada menjalani jalan Allah secara sempurna.
  • Janabah kelalaian perlu disucikan terlebih dahulu sebelum berhasrat untuk menghampirkan diri kepada Allah.
  • Kefahaman terhadap segala rahsia tidak memadai tanpa bekerja keras untuk bertaubat daripada segala kesalahannya.
  • Inilah realiti insan yang turun daripada kesucian syurga Ilahi ke bumi tempat yang penuh dengan onak kelupaan.
  • Imam al-Syazali menyatakan usaha untuk menghampirkan diri kepada Allah akan tercapai  apabila seseorang itu meninggalkan segala syahwatnya,kerana seseorang itu tidak akan sampai kepada Tuhannya beserta syahwatnya.
  • Al-Quran sendiri memperingatkan kita agar memelihara hati daripada dilumuri dosa-dosa dan kemabukan kepada dunia yang mengakibatkan terdinding hati daripada ma’rifah dan merindui Allah SWT,firman Allah :

كلا بل ران علي قلوبهم ما كانوا يكسبون كلا انهم عن ربهم يومئذ لمحجوبون

Maksudnya : Jangan berfikir begitu ! Bahkan apa yang telah mereka kerjakan itu menjadi karat bagi hati mereka.Jangan lagi mereka berbuat demikian ! ( kalau tidak ),mereka pada hari itu,tetap terdinding dari ( rahmat ) Tuhan mereka. ( S.al-Mutafifin ayat 14-15 )

 

  • Guru-guru Imam Syafe’i memperingatkan beliau tentang pemeliharaan hati daripada maksiat,sebagaimana wasiat Imam Malik kepadanya :

اتق الله ولا تطفيء هذا النور الذي أتاك الله بالمعاصي

Maksudnya :  Bertaqwalah kepada Allah,dan janganlah engkau padamkan cahaya yang telah dikurniai Allah SWT kepadamu dengan mengerjakan maksiat.

  • Imam al-Syafe’i mengadu kepada gurunya Waki’ mengenai kelemahan daya hafalannya lalu gurunya itu menasihatinya :

شكوت الي وكيع عن سوء حفظي فأرشدني الي ترك المعاصى فان العلم نور ونور الله لا يهدي للعاصي

Maksudnya : Aku mengadu kepada Waki’ tentang kelemahan hafalanku,lalu dia menasihatiku supaya aku meninggalkan maksiat,kerana sesungguhnya ilmu itu adalah cahaya ,dan cahaya Allah tidak akan dikurniakan kepada orang yang bernbuat maksiat.

 

  • Allah SWT sendiri menegaskan bahawa Dia akan menganugerahkan ilmu yang hakiki kepada orang-orang yang benar-benar bertaqwa :

واتقوا الله ويعلمكم الله

Maksudnya : Dan bertaqwalah kamu kepada Allah,dan Allah akan mengurniakan ilmu pengetahuan kepada kamu. ( S.al-Baqarah ayat 282 )

Hikmah ke 14

KEAGUNGAN ALLAH SWT DAN ALAM SEMESTA

 

الكون كله ظلمة ، وانما أناره ظهور الحق فمن رأي الكون ولم يشهده فيه ، أو عنده ، أو قبله ، أو بعده ، فقد أعوزه وجود الأنوار ، وحجبت عنه شموس المعارف بسحب الآثار

Maksudnya :

Pada mulanya alam semesta itu berada dalam kegelapan,hanyasanya yang menyinarinya adalah kewujudan Allah ( yang merupakan kebenaran yang mutlak ).Justeru itu sesiapa yang memandang alam ini walhal dia tidak mengakui atau membenarkan Allah SWT didalamnya,atau disampingnya,atau sebelumnya atau selepasnya,maka sesungguhnya dia amat berhajat kepada kewujudan cahaya yang bersinar,dan sesungguhnya juga tertabir daripadanya matahari ma’rifah ( mengenali Allah SWT ) lantaran awan-awan tebal alam semesta yang menyelimutinya.

 

  • Menurut To` Pulau Manis ‘adam atau ketiadaan itu adalah kegelapan ( zulmah ),manakala kewujudan dianalogikan sebagai nur atau cahaya.Sebagaimana firman Allah SWT :

هل أتي علي الانسان حين من الدهر لم يكن شيئا مذكورا( S.al-Insan: 1 )

Maksudnya : Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika daripada masa ( yang beredar ), sedang ia ( masih belum wujud lagi,dan ) tidak menjadi sesuatu benda yang boleh disebut-sebut, ( maka mengapa kaum Musyrik itu mengingkari hari kebangkitan ) ?

Kawn atau ‘alam  terbahagi kepada dua,pertamanya yang bersifat lahiriyah yang boleh dicapai oleh pancaindera ( hissi ) dan keduanya yang bersifat batin yang ma’nawi atau abstrak.Apabila dilihat kepada keduanya dengan pandangan yang cetek nescaya ia menjadi tabir yang menutupi hakikat perhubungannya dengan Yang Maha Pencipta.

  • Justeru itu pengkajian yang berasaskan tafkir dan taskhir ( penggunaan akal yang berpandukan hidayah wahyu ) akan menyuluhi seseorang itu dan memperlihatkan hubungan seluruh alam semesta dengan qudrat dan iradat Allah SWT.Sebagaimana yang dijelaskan oleh Hasan al-Basri RH :

الفكرة مرأة تريك حسنك من قبيحك ويطلع أيضا بها علي عظمة الله تعالي وجلاله اذا تفكر في آياته ومصنوعاته ويطلع بها أيضا علأي الآئه الجليلة والخفية فيستفيد بذلك أحوالا سنية يزول بها مرض قلبه ويستقيم بسببها علي طاعة ربه.

Maksudnya :  Berfikir merupakan cermin yang berupaya memperlihatkan kebaikanmu daripada keburukanmu.Dengannya juga seseorang berupaya menjangkau kebesaran dan keagungan Allah SWT.Apabila seseorang itu berfikir tentang tanda-tanda dan segala ciptaan Allah juga akan menyerlah tanda-tanda kebesaran Allah yang nyata atau yang tersembunyi.Demikian juga seseorang itu boleh mengambil iktibar daripada pelbagai ehwal perbuatan yang mulia yang mengikis segala penyakit hatinya, lantaran kerananya dia berupaya tetap pendirian dalam mentaati Allah.

  • Empat kaedah syuhud atau metod menghampirkan diri dan berfikir menurut aliran sufi :

i           Kaedah yang dilalui oleh mujtahid mujahadah iaitu kaedah menjadikan kawn atau alam semesta sebagai dalil kewujudan Allah SWT

ii           Kaedah Mujtahid ‘Arif iaitu metod menilik dan menyelidiki kepada hakikat ilmu wujud

iii          Kaedah Sahib Musyahadah iaitu metod yang tidak terikat lagi dengan penelitian terhadap kawn atau ‘alam tetapi mengambil dalil ke atas kawn itu dengan mukawwin yakni Allah SWT

iv          Kaedah Sahib Kasyf dan tauhid iaitu peleburan atau fana` segala al-asbab yakni fana` daripada nazar ( pengkajian ) dan khabar ( huraiannya ) kerana pada peringkat ini hanya Allah SWT yang menganugerahkan ilmu mukasyafah atau ilmu laduni kepada hambaNya.

  • Terdapat beberapa nas al-Quran yang boleh dirujuk untuk menjelaskan metod-metod tersebut.

i           Metod satu berasaskan  firman Allah SWT :  فاطر السماوات والأرض جعل لكم من أنفسكم أزواجا ومن الأنعام يذرؤكم فيه ليس كمثله شئء وهو السميع البصير ( S.al-Syura : 11-12 )

Maksudnya : Dialah yang menciptakan langit dan bumi;Dia menjadikan bagi kamu pasangan-pasangan dari jenis kamu sendiri,dan menjadikan dari jenis haiwan ternak pasangan; dengan jalan yang demikian dikembangkan zuriat kamu semua.Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan ( ZatNya,sifat-sifatNya dan pemerintahanNya ) dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

ii           Metod dua,firman Allah SWT :

سنريهم ءاياتنا في الآفاق وفي أنفسهم حتي يتبين لهم أنه الحق

( S. Fusilat : 53 ) Maksudnya :

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat ( dalam alam semesta ) dan pada diri mereka sendiri,sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Dialah Allah Tuhan Yang Maha Benar.

iii          Metod tiga,firman Allah SWT : والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا

Maksudnya : Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami,sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami. ( Surah al-Ankabut ayat 69 )

iv          Metod empat,firman Allah SWT :    فوجدا عبدا من عبادنا ءاتيناه رحمة من عندنا وعلمناه من لدنا علما  ( S.al-Kahf : 65 ) Maksudnya :

Lalu mereka dapati seseorang daripada hamba-hamba Kami,yang telah Kami kuniakan kepadanya rahmat dari Kami,dan Kami telah mengajarnya sejenis ilmu ( ilmu laduni ),dari sisi Kami.

Hikmah ke 15

Keagungan dan Perlindungan Allah

 

مما يدلك علي وجود قهره سبحانه وتعالي أن حجبك عنه بما ليس بموجود معه

Maksudnya :  Sebagai membuktikan kewujudan kemahaperkasaanNya bahawa Dia melindungimu daripada sesuatu yang pada hakikatnya tidak wujud bersamaNya.

 

To` Pulau Manis menjelaskan bahawa Allah SWT telah menciptakan segala makhluk daripadaNya dan semua makhluk itu akan kembali kepadaNya.Kewujudan makhluk denganNya dan bagiNya dan semuanya berasal daripada ketiadaan dan segala hamba Allah itu terdinding daripada mengenaliNya kerana memandang kepada segala makhluk yang fana.Selanjutnya telah bersepakat para ‘Arifin BiLlah dan para Muhaqqiq bahawa selain daripada Allah SWT itu adalah ‘adam atau tidak wujud.Sehubungan ini semua yang lain daripada Allah tidak boleh disifatkan wujud kerana pendakwaan bahawa yang lain daripada Allah itu wujud akan membawa kepada perbuatan menyengutukan Allah atau mensyirikkanNya.Huraian Ibn AtaiLlah dan syarah To` Pulau Manisw itu sejajar dengan firman Allah SWT :

 

ولا تدع مع الله الها ءآخر لا اله الا هو كل شيء هالك الا وجهه له الحكم واليه ترجعون

 

Maksudnya : Janganlah kamu sembah di samping ( menyembah ) Allah .tuhan apa pun yang lain.Tidak ada Tuhan ( yang berhak disembah) melainkan Dia.Tiap-ytiap sesuatu pasti binasa ,kecuali Allah.BagiNyalah segala penentuan,dan hanya kepadaNyalah kamu dikembalikan

( Surah al-Qasas ayat 88 )

 

Dalam konteks ini Imam al-Syazali rh guru Ibn ‘AtaiLlah berkata :

 

انا لننظر الي الله تعالي بنظر الايمان والايقان فينفنينا ذلك عن الدليل والبرهان ونستدل به علي الخلق فانه ليس في الوجود الا الواحد الحق فلا نراهم وان كان لا بد فتراهم كالهباء في الهواء ان نتشتهم تجدهم شيئا

 

Maksudnya : Sesungguhnya kami menilik kepada Allah dengan tilikan iman dan taqwa, setelah itu kami menafikan atau tidak memerlukan dalil dan hujah.Malah kami menyandarkan dalil kepadaNya terhadap seluruh makhluk.Rumusan yang dapat kami utarakan bahawa tiada wujud yang hakiki kecuali wujud Allah yang Maha Esa lagi Maha Benar.Kami tidak melihat kepada yang lain selain Allah seandainya kami melihat sekalipun ia diumpamakan sebiji debu di dalam udara.Berikutnya walau bagaimana kami mencarinya nescaya kami tidak akan menemui kewujudannya ( makhluk ini ).

Menurut Ibn ‘AtaiLlah tuntutan duniawi yang melampau telah mendinding kebanyakan manusia daripada memenuhi hak Allah SWT.Akan tetapi apabila terangkat hijab atau dinding itu nescaya fanalah mereka dan baqa` beserta dengan Allah.Dengan itu mereka tergolong di kalangan hamba-hamba Allah yang hakiki.

 

Abu Sa’id al-`A’rabi menjelaskan pengertian fana` sebagai penzahiran sifat uluhiyyah dengan keagungan dan kebesaran Allah ke atas segala makhlukNya.Dalam masa yang sama hamba Allah itu akan melupai segala yang lain daripada Allah serta tenggelam karam dalam kebesaran Allah SWT jua.Terdapat tiga bahagian fana`,iaitu :

 

1          Fana` di dalam `af’al  atau perbuatan sebagaimana dikatakan bahawa tidak berbuat sesuatu melainkan Allah lah yang berbuat.

2          Fana` di dalam sifat  sebagaimana dikatakan tiada yang hidup,tiada yang tahu,tiada yang berkehendak,tiada yang mendengar, tiada yang melihat dan tiada yang berkata-kata melainkan Allah SWT yang bersifat demikian.

3          Fana` di dalam zat dengan menyatakan bahawa tiada yang wujud secara mutlak melainkan Allah lah wujud yang mutlak.

 

Penjelasan Muhyuddin Ibn ‘Arabi dalam konteks ini amat relevan dengan menyatakan :

 

من شهد الخلق لا فعل لهم فقد فاز ، ومن شهد هم لا حياة لهم فقد حاز ، ومن شهدهم عين العدم فقد وصل

 

Maksudnya : Sesiapa memandang makhluk tidak memiliki kekuasaan dalam perbuatan mereka maka dia telah menang, dan sesiapa yang  memandang makhluk ini pada hakikatnya tidak hidup nescaya telah meningkat mertabatnya,dan sesiapa memandang makhluk ini sesuatu yang tiada maka sesungguhnya dia telah sampai kepada ma’rifatuLlah.

Hikmah ke 16

Kehampiran Allah Dengan MakhlukNya

 

كيف يتصور أن يحجبه شىء وهو الذي أظهر كل شىء

كيف يتصور أن يحجبه شىء وهو الذي ظهر بكل شيء

كيف يتصور أن يحجبه شيء وهو الذي ظهر في كل شيء

كيف يتصور أن يحجبه شيء وهو الذي ظهر لكل شيء

كيف يتصور أن يحجبه شيء وهو الظاهر قبل وجود كل شيء

كيف يتصور أن يحجبه شيء وهو الذي أظهر من كل شيء

كيف يتصور أن يحجبه شيء وهو الواحد الذي ليس معه شيء

كيف يتصور أن يحجبه شيء وهو أقرب اليك من كل شيء

كيف يتصور أن يحجبه شيء ولولاه ما كان وجود كل شيء

Maksudnya :

 

1          Bagaimana dapat digambarkan bahawa Allah itu terdinding oleh sesuatu,walhal Dia lah yang menjelmakan segala sesuatu

2          Bagaimana boleh digambarkan bahawa Allah itu terdinding oleh sesuatu walhal Dia menyerlah zahir ke atas segala sesuatu

3          Bagaimana dapat dibayangkan bahawa Allah itu tersembunyi oleh sesuatu,walhal Dia berada dalam segala sesuatu

4          Bagaimana boleh direnungkan bahawa Allah itu ditutupi oleh sesuatu,walhal Dia  terang dan jelas bagi tiap-tiap sesuatu

5          Bagaimana boleh tergambar dalam pemikiran bahawa Allah itu terhijab oleh sesuatu walhal Dia sudah ada sebelum wujud segala sesuatu

6          Bagaimana boleh terlintas dalam hati bahawa Allah itu terdinding oleh sesuatu walhal Dia lebih jelas daripada segala sesuatu

7          Bagaimana dapat terlukis dalam fikiran bahawa Allah itgu tertutup oleh sesuatu sedangkan Dia Maha Esa di mana tiada sesuatu pun menyertaiNya

8          Bagaimana boleh tergambar dalam fikiran bahawa Allah itu terhijab oleh sesuatu walhal Dia lebih hampir kepada kamu dari segala sesuatu

9          Bagaimana dapat digambarkan dalam hati bahawa Allah itu terhijab oleh sesuatu walhal seandainya tidak kerana Allah maka segala sesuatu tidak akan wujud.

 

Ibn ‘AthaiLlah menyatakan apabila seseorang itu telah dianugerah maqam fana nescaya dia akan memandang haq Allah ke atas tiap-tiap sesuatu,sertaNya,dahuluNya dan kemudianNya tanpa hijab daripada Tuhannya.Sembilan kenyataan di atas adalah ungkapan-ungkapan untuk mentanzihkan ( atau mengkuduskan ) zat Allah,sifat-sifat kesempurnaanNya serta mentajalli Asma`Nya.

  • Segala sesuatu tidak boleh mendindingkan Allah daripada makhlukNya lantaran Dial ah yang menzahirkan segala sesuatu daripada ketiadaan kepada  kewujudan.Setelah kewujudan makhlukNya Allah telah melimpahkan rahmatNya,ilmuNya,IradatNya,QudratNya serta hikmahNya sehingga segala sesuatu menjadi cermin kewujudanNya yang Maha Mutlak.
  • Dan apabila zuhur atau menyerlah hakikat segala sesuatu denganNya,maka bagamana mungkin hakikat yang menzahirkan dan menyerlahkan itu boleh terhijab ?
  • Mana mungkin Allah SWT itu boleh ditutupi oleh segala sesuatu sedangkan Dia telah zahir dalam tiap-tiap sesuatu dengan kudratNya,keagungan sifatNya.Dialah Yang Maha Nyata ke atas segala makhlukNya.
  • Dia tidak boleh didindingi oleh segala sesuatu lantaran Dialah punca terbit segala sesuatu itu dengan sangat zahirnya.
  • Dialah Allah yang zahir sebelum wujud sesuatu yang lain sejak azali lantaran wujud segala sesuatu adalah perbuatanNya.Dia lah Yang Maha Awal tidak ada permulaan bagi adaNya.
  • Dial ah Allah yang terlebih zahir daripada segala sesuatu yang lain lantaran tiada sah segala wujud yang lain itu tanpa bersandar kepada Allah Zat yang wajib wujud dan yang lain daripada Allah adalah harus wujud dan diwujudkan.
  • Dialah Allah Yang Maha Esa tiada sesuatu pun menyertaiNya sejak azali.Wujud segala makhluk itu berpunca daripadaNya dan mereka tidak wujud dengan sendirinya.
  • Dia lah Allah Maha menghampiri makhlukNya semestinya tidak ada dinding di antara Allah dengan makhlukNya itu.Sebagaimana firmanNya :
  • ولقد خلقنا الانسان ونعلم ما توسوس به نفسه ونحن أقرب اليه من حبل الوريد
  • Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan Kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya.Dan Kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya sendiri. ( S.Qaaf ,ayat 16 )
  • Kewujudan segala sesuatu amat bergantung dan bersandar kepada Zat Allah Yang Wajib Wujud itu justeru itu kewujudan yang harus iaitu makhlukNya tidak boleh menghijab atau mendindingkan Kebesaran,Keagungan dan KesempurnaanNya daripada dihampiri dan dikenali oleh hamba-hambaNya yang dikurniai ma’rifah dan sirr.

Hikmah ke 16 & 17

Kehampiran Allah Dengan MakhlukNya

 

Sembilan pertanyaan Ibn ‘AtaiLlah pada hikmah ke 16 yang lalu telah dirumuskan oleh beliau,katanya :

يا عجبا كيف يظهر الوجود في العدم ، أم كيف يثبت الحادث مع من له وصف القدم

Maksudnya  :  Wahai yang menakjubkan daku ! betapakah zahirnya wujud itu di dalam ‘adam ( ketiadaan ) ( kerana sesungguhnya ketiadaan itu kegelapan dan kewujudan itu nur cahaya dan keduanya berlawanan tidak boleh berhimpun sama sekali ! ).Atau betapakah akan tetap sesuatu yang baharu di samping zat yang memiliki sifat keazalian / kemahasediakalaan  / qidam ( Sesungguhnya yang baharu atau yang hadith itu tidak boleh berdiri dengan sendirinyadan tidak boleh wujud dengan dirinya sendiri )

 

Tegasnya sesuatu yang baharu pasti akan menemui ketiadaan,kebinasaan,fana` dan pasti pasti batal,yakni pada azalinya memang tiada dan pada akhirnya atau penghujungnya memang akan binasa.Sehubungan ini Allah berfirman :

 

وقل جآء الحق وزهق الباطل ، ان الباطل كان زهوقا

Maksudnya : Dan katakanlah ( wahai Muhammad Rasulullah ! ) telah dating yang benar dan hilang lenyap yang palsu, sesungguhnya yang palsu itu pasti akan lenyap. ( Surah al-Isra` ayat 81 )

 

HIKMAH KE 17  :  BERADAB SOPANLAH DENGAN ALLAH

 

ما ترك من الجهل شيئا من أراد أن يحدث في الوقت غير ما أظهره الله فيه

 

Maksudnya : Seseorang itu masih berada dalam kejahilan selagi dia berkehendak untuk melaksanakan sesuatu urusan pada waktu lain daripada masa yang sememangnya telah ditetapkan oleh Allah didalamnya.

 

Tuan Syeikh To` Pulau Manis Trengganu menegaskan bahawa kejahilan itu adalah sifat yang berlawanan dengan ma’rifah.Sebesar-besar kejahilan ialah tidak mengenal diri  ,sedangkan mengenal diri itu adalah jambatan yang kukuh untuk mengenal Allah.Sehubungan ini seseorang yang mengenal haq Tuhannya nescaya dia akan menyerahkan segala urusan kepada Tuhannya.Tentunya sesiapa yang telah menyerahkan segala urusannya kepada Tuhannya jadilah dia manusia yang tenteram,mutmainnah dan beruntunglah dia di dunia dan di akhirat.

 

Justeru itu seseorang yang terlebih kasih kepada ketentuan dan pilihannya daripada apa yang ditentukan dan dipilih oleh Allah ternyata sekali kejahilan dan kebebalannya.Seandainya dia sedar bahawa tiada baginya iradah atau kemahuan dan tidak wajar bagi dirinya kasih kepada yang lain daripada hak Allah Ta’ala di dalam menentu dan memilih.Tegasnya orang ‘arif bilLah terfanalah iradahnya,gugur ikhtiarnya kecuali ketentuan,iradah dan ketetapan Allah jua ! Dalam hal ini Allah SWT berfirman :

 

وما كان لمؤمن ولا مؤمنة اذا قضي الله ورسوله أمرا أن يكون لهم الخيرة من أمرهم ومن يعص الله ورسوله فقد ضل ضلالا مبينا

Maksudnya :  Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman,lelaki dan perempuan,apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan bagi sesuatu perkara – mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka.Dan sesiapa yang tidak taat kepada hokum Allah dan rasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.( Surah al-Ahzab ayat 36 )

 

Rumusan-rumusan ringkas :

  • Apabila Allah menentukan sesuatu keadaan menimpa hambaNya yang tidak berlawanan dengan syariatNya lalu seseorang itu hendaklah berusaha memelihara adabnya dengan Allah yakni redha dengan keadaan tersebut serta bermuraqabah ( menginta-intai rahsia dan hikmah disebalik keadaan yang menimpa itu ).InsyaAllah akhirnya Allah memindahkan keadaannya yang sejajar dengan kehendak Allah.
  • Tidak boleh seseorang hamba itu menetapkan bahawa ingin bertajrid ( menumpukan perhatian kepada ibadah tanpa mempedulikan usaha ikhtiar atau al-asbab ) dan meninggalkan usaha menuntut ilmu.Tegasnya seseorang itu tidak menentukan ahwalnya kerana hak penentuan itu ditangan qudrat dan iradat Allah.Inilah hakikat ilmu disisi Allah dan inilah juga hakikat mengenal atau ma’rifah rububiyah Allah.
  • Ketentuan masa atau waktu adalah hak mutlak Allah.Adalah menjadi adab al-‘ubudiyyah bagi pendokong sufiyah untuk menyerahkan ketentuan masa kepada iradat Allah dan adalah berdosa mempertikaikan hak Allah ini.
  • Sesiapa yang telah sedar dan insaf hendaklah dia memperakui bahawa segala perbuatannya adalah dalam rangka yang diingini oleh hikmah Allah.Justeru itu hendaklah dia redha terhadap apa jua taqdir Allah.Dengan syuhud dan pemerhatian ini menjadi sama sahaja disisinya duka,suka,tinggi,rendah,mulia,hina,kaya,miskin.Beradablah dia dengan adab al-waqt ( masa  )  yang menjauhkannya daripada kebinasaan. انتهي

Hikmah ke 18

SIKAP BERTANGGUH-TANGGUH SESUATU YANG TERCELA

 

احالتك الأعمال علي وجود الفراغ من رعونات النفس

 

Maksudnya : Penundaan yang disengajakan olehmu terhadap sesuatu amal kebajikan adalah suatu kebebalan diri

 

Sikap bertangguh-tangguh serta ragu-ragu di dalam mengerjakan amal yang sholeh adalah sebahagian daripada kebebalan diri ( al-`ahmaq ).Tuanguru To` Pulau Manis mengemukakan tiga faktor yang menjadikan seseorang itu menundakan atau melambat-lambatkan amalan yang sholeh :

  • Mengutamakan dunia daripada akhirat ,walhal dunia itu mukaddimah dan akhirat itu destinasinya.Islam menganjurkan umatnya mengambil habuan dunia untuk akhirat.Bukannya mengejar habuan dunia yang terputus daripada kerangka wawasan akhirat.Sehubungan ini Allah SWT berfirman :

 

بل تؤثرون الحياة الدنيا والأخرة خير وأبقي

 

Maksudnya : ( Tetapi kebanyakan kamu tidak melakukan yang demikian ), bahkan kamu mengutamakan kehidupan dunia; padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.

( Surah al-A’la ayat 16-17 )

 

  • Sikap menangguh-nangguhkan amalan yang sholeh adalah diakibatkan kesibukan seseorang itu dalam gerak kerja yang melalaikan atau usaha-usaha yang tidak diredhai oleh Allah.Belum sempat gerak kerja itu diselesaikan dia telah menemui kematian yang datang secara tiba-tiba dan tidak dijangka.Senario ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firman Nya :

 

يأيها الذين ءامنوا لا تلهكم أموالكم ولا أولادكم عن ذكر الله ومن يفعل ذلك فأولئك هم الخاسرون *  وأنفقوا من ما رزقناكم من قبل أن يأتي أحدكم الموت فيقول ربي لولا أخرتني الي أجل قريب فأصدق وأكن من الصالحين * ولن يؤخر الله نفسا اذا جآء أجلها  والله خبير بما تعملون

 

Maksudnya :  Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah kamu dilalaikan oleh ( urusan ) harta benda kamu dan anak pihak kamu daripada mengingati Allah ( dengan menjalankan perintahNya ).Dan ( ingatlah ! ) sesiapa yang melakukan demikian,maka mereka itu lah orang-orang yang rugi.Dan belanjakanlah ( dermakanlah ) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, ( kalau tidak ) maka ia ( pada saat itu ) akan merayu dengan katanya : “ Wahai Tuhanku ! alangkah baiknya kalau engkau lambatkan ( kedatangan ajal maut ) ku – ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang sholeh.” Dan ( ingatlah! ) Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang ( atau sesuatu yang bernyawa ) apabila sampai ajalnya; dan Allah amat mendalam pengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.”  ( Surah al-Munafiqun ayat 9 – 11  )

 

  • Seseorang yang tidak berkualiti amalannya tidak menghubungkan usaha dan ikhtiarnya dengan Qudrat dan Iradat Allah,malah apa yang dia nampak ialah usaha dan gerak kerjanya semata-mata.Implikasinya apabila berhasil usaha dia tidak bersyukur dan apabila gagal pula dia tidak redha dan berserah kepada Qudrat dan Iradat Allah.

 

  • Tegasnya,seseorang Muslim hendaklah menyegerakan amalan yang sholeh sebelum datang fitnah dlam berbagai bentuk yang akan menimpa ke atas dirinya.Sehubungan ini Rasulullah SAW bersabda :

 

بادروا بالأعمال فتنا كقطع الليل المظلم يصبح الرجل مؤمنا ويمشي كافرا أو يمشي مؤمنا ويصبح كافرا يبيع دينه بعرض من الد نيا

 

Maksudnya : Segeralah beramal dengan amalan yang sholeh lantaran fitnah akan datang menimpa kamu seperti sekeping malam yang gelap gelita,seorang lelaki di kalangan kamu di waktu pagi beriman tetapi di waktu petang dia menjadi kafir,dan diwaktu petang dia beriman tetapi keesukan paginya dia menjadi kafir.Dia menjual agamanya untuk mendapatkan satu habuan daripada dunia. ( Hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim )

Hikmah ke 19

REDHALAH DENGAN SESUATU KEADAAN YANG DITETAPKAN OLEH ALLAH SWT

 

لا تطلب منه أن يخرجك من حالة ، ليستعملك فيما سواها فلو أرادك لاستعملك من غير اخراج

 

Maksudnya : Jangan sekali-kali anda memohon kepada Allah agar dikeluarkan daripada sesuatu keadaan supaya dengan itu anda mengharapkan dikurniakan suatu keadaan yang lainSeandainya  dikehendaki Nya nescaya anda akan ditimpakan dengan keadaan tersebut tanpa anda dikeluarkan daripadanya.

 

Sewajarnya kita sedar bahawa ketentuan Allah itu kadang-kadang tidak menepati dengan kehendak kita sebagai makhlukNya.Justeru itu janganlah kita menuntut keluar daripada situasi yang ditetapkan Allah ke atas kita misalnya seseorang itu diletakkan pada status ahli ibadah dan mujahadah tetapi dia masih berdoa kepada Allah untuk keluar daripadanya dengan memohon untuk mencapai maqam ubudiyyah dan musyahadah.Doa dan permohonan itu jangan mengikut runtunan nafsu dan sentimen yang sempit.Tegasnya seseorang itu tidak boleh keluar daripada status berusaha dan berikhtiar ( al-asbab ) kepada status  tajrid  tanpa berusaha mencari penghidupan yang halal dan diredhai Allah.

 

Pemeliharaan adab dengan Allah SWT amat perlu dipertahankan.Seseorang Mu`min itu hendaklah redha dengan ketetapan Allah ke atas dirinya asalkan situasi yang dilaluinya itu selaras dengan neraca syari’ah.Islam menganjurkan konsep sabar sebagai kaedah pemeliharaan adab dengan Allah.Sabar menurut al-Imam al-Qusyairi sebagai menahan diri daripada sifat negatif seperti berputus asa ketika menghadapi musibat dan bala` yang merupakan ujian dan penapisan Allah ke atas hamba-hambaNya.Saidina Ali krw menyatakan bahawa sabar ialah mara ke hadapan ketika menempuh dugaan dan kesukaran.Nabi Allah Daud a.s. diriwayatkan oleh Allah SWT berdoa dengan kesabaran,firman Allah :

ربنا أفرغ علينا صبرا وثبت أقدامنا وانصرنا علي القوم الكافرين

 

 Maksudnya : Wahai Tuhan kami limpahkanlah kesabaran kepada kami,dan teguhkanlah langkah-langkah kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir. ( Surah al-Baqarah ayat 250 )

 

Mengapa kita dianjurkan oleh Islam agar menerima ketentuan-ketentuan Allah Yang Maha Bijaksana itu ?

  • Lantaran kita dikehendaki akur dan menyerahdiri kepada ketentuan qadha` dan qadar Allah Yang Maha mengetahui apa yang terbaik untuk diri kita.Setelah itu kita akan menjadi tenang dan lapang dada dengan haq Allah ke atas diri kita sebagai hambaNya.
  • Kita wajib melaksanakan haq ‘ubudiyyah atau haq kehambaan kita kepada Allah dengan kaedah meredhai terhadap segala ketentuanNya dengan melaksanakan ajaran dan peraturanNya.
  • Kita hendaklah istiqamah pada ketentuan yang telah dikurniakan kepada kita tanpa perlu bersusah payah memikirkan perkara-perkara lain yang diluar ketentuan itu atau memikirkan apa yang kita idam-idamkan dan khayalkan.Sehubungan ini Allah berfirman :

ان الذين قالوا ربنا الله ثم استقاموا تتنزل عليهم الملآئكة ألا تخافوا ولا تحزنوا وأبشروا بالجنة التي كنتم توعدون

 

Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata : “ Tuhan kami ialah Allah,” kemudian mereka tetap istiqamah di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa ( dengan memberi ilham ) : “ Janganlah kamu bimbang ( dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu ) serta janganlah kamu berdukacita,dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu.”( Surah Fusilat ayat 30 )

 

  • Apabila sesuatu keadaan yang menimpa kita bersalahan dengan ajaran Islam kita hendaklah berusaha keluar daripada keadaan tersebut dengan memohon kepada Allah dan berikhtiar bersungguh-sungguh.Tegasnya apabila kita telah redha dengan ketentuan Allah nescaya Dia akan mengurniakan faedah-faedah yang tidak terhitung dalam jangka masa yang ditetapkan olehNya.
  • Apabila seseorang telah dikurniakan maqam tajrid nescaya Allah memudahkan al-asbab baginya.Kedudukan seperti itu adalah haq Allah bukan boleh didakwa oleh seseorang sebagaimana Allah memilih nabi dan rasulNya dengan pilihan dan ketentuanNya.Demikian Allah memilih para waliNya juga dengan ketetapanNya bukan boleh ditentukan oleh sang wali itu.Firman Allah :

 

ألآ ان أوليآء الله لا خوف عليهم ولا هم يحزنون ا لذبن آمنوا وكانوا يتقون لهم البشري في الحياة الدنيا وفي الأخرة لا تبديل لكلمات الله ذلك هو الفوز العظيم

 

Maksudnya : Ketahuilah ! sesungguhnya wali-wali Allah,tidak ada kebimbangan ( daripada sesuatu yang tidak baik ) terhadap mereka,dan mereka pula tidak akan berdukacita.( Wali-wali Allah itu ialah ) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.Untuk mereka sahajalah kebahgiaan yang menggembirakan di dunia dan di akhirat,tidak ada ( sebarang ) perubahan pada janji-janji Allah,yang demikian itulah kejayaan yang besar. ( Surah Yunus ayat 62-64 )

Hikmah ke 20

BERUSAHA TERUS TANPA TERPESONA DENGAN KEJAYAAN YANG MELEKAKAN

 

ما أرادت همة سالك أن تقف عند ما كشف لها، الا ونادته هواتف الحقيقة: الذي تطلبه أمامك ! ولا تبرجت له ظواهر المكنونات الا ونادته حقائقها : انما نحن فتنة فلا تكفر

Mafhumnya : Seseorang yang menjalani landasan penyucian jiwa tidak akan menghentikan cita-citanya ke arah tersebut sungguhpun tersingkap di hadapannya beberapa pencapaian,melainkan suara-suara hakiki berseru ( apabila dia menghentikan usahanya ) : “ Apa yang anda cari telah terbentang dihadapan anda ! “( teruskan perjalananmu ! )  Berikutnya tidak terserlah baginya gejala-gejala lahiriah melainkan suara-suara nuraninya berseru,” sebenarnya kami adalah fitnah ( cubaan ) semata-mata.Justeru itu janganlah anda mengengkari “ (  ni’mat-ni’mat Allah SWT ).

 

  • Orang yang menjalani jalan Allah ( Salik ) tidak perlu menghentikan usaha dan perjalanannya itu walaupun telah terbuka sebahagian anwar dan asrar ( cahaya pertunjuk / ilham  dan rahsia ma’rifah ).Ini disebabkan perjalanan itu tiada noktahnya dan tiada penamatnya sehingga nyawa sampai ke halqumnya.Sehinggalah Allah SWT berfirman :

 

ياءيتها النفس المطمئنة ارجعي الي ربك راضية مرضية فادخلي في عبادي وادخلي جنتي

Maksudnya : “ Wahai orang yang mempunyai yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya ! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati ( dengan segala ni’mat yang diberikan ),lagi diredhai ( di sisi Tuhanmu )! Serta masuklah dalam kumpulan hamba-hambaKu yang berbahagia ! dan masuklah ke dalam syurgaku! “. ( Surah al-Fajr ayat 27 – 30 )

 

  • Sehubungan ini, Syeikh Abu al-Hassan al-Syazali r.a. menyarankan seandainya anda ingin mencapai apa yang dicapai oleh para Awliya` Allah sewajarnya anda mengasingkan diri daripada manusia kecuali manusia yang boleh memberi manfa’at kepada anda ke jalan Allah dengan isyarat yang betul serta dengan amalan-amalan yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

 

  • Selanjutnya janganlah anda memandang hebat dan kagum kepada dunia serta jadikanlah seteru Allah sebagai musuhmu.Seandainya anda telah mencapai tahap tersebut iaitu berpaling daripada kehebatan dunia dan bersifat zuhud terhadap segala manusia tentunya anda meneruskan perjalanan dan perjuangan anda dengan sentiasa bermuraqabah kepada asrar Allah SWT,melazimkan diri bertawbat iaitu sentiasa memelihara diri daripada kemurkaan Allah dan sentiasa pula beristighfar dan tunduk kepada hukum-hukum Allah dengan penuh istiqamah.

 

  • Ketahuilah bahawa selagi orang yang menjalani jalan Allah itu memiliki cita-cita ( himmah ) dan kemahuan selagi itulah jalan yang akan ditempuhinya semakin jauh dan penuh ranjau sehinggalah dia mencapai fana` iaitu peleburan diri dan penafian dirinya dan tahqiq dia dengan wujud Allah Yang Mutlak.Sehubungan ini Allah SWT berfirman :

 

لو كان عرضا قريبا وسفرا قاصدا لاتبعوك ولكن بعدت عليهم الشقة

 

Mafhumnya : Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka ( wahai Muhammad SAW ) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati,dan sesuatu perjalanan yang sederhana ( tidak begitu jauh ),nescaya mereka akan mengikutmu,tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka dan penuh kepayahan. ( Surah al-Tawbah ayat 42 ).

Hikmah ke 21

HAKIKAT PENGHARAPAN ANDA KEPADA ALLAH

 

طلبك منه اتهام له وطلبك له غيبة منك عنه وطلبك لغيره لقلة حيائك وطلبك من غيره لوجود بعدك عنه

 

Maksudnya : Tuntutan anda kepadaNya lantaran adanya kegusaran anda terhadapNya.Tuntutan anda juga lantaran anda tidak berdaya melihatNya.Pengharapan anda kepada selainNya lantaran kurangnya rasa malu anda kepadaNya.Malah pergantungan anda kepada yang lain daripadaNya akibat wujudnya jurang yang luas di antara anda denganNya.

 

  • Sebetulnya sebarang tuntutan dan permintaan adalah gejala penyebab ( ma’lul ) dan bersifat pencetus ( madkhul ) semata-mata bukan sesuatu yang mutlak dan hakiki.Pelaksanaannya haruslah dalam rangka ‘ubudiyah ( perhambaan kita kepada Allah ) dan sememangnya menjadi haq rububiyahNya.Sebagaimana firman Allah SWT :

 

وقال ربكم ادعوني أستجب لكم ان الذين يستكبرون عن عبادتي سيدخلون جهنم داخرين

Mafhumnya : Dan Tuhan mu telah berfirman : “ Berdo’alah kamu kepadaKu nescaya Aku akan perkenankan permohonanmu.Sesungguhnya orang-orang yang sombong daripada melaksanakan ibadat kepadaKu akan dimasukkan ke neraka jahannam dalam keadaan hina. ( Surah Ghafir ayat 60 )

 

  • Tuntutan anda kepada Allah hendaklah dalam rangka ‘ubudiyah bukan pemaksaan lantaran Dia Maha Mengetahui sejak azali apa dituntut oleh anda itu.
  • Kehampiran dan keakraban Allah dengan hambaNya tidak sepatutnya menyebabkan seseorang hamba itu merayu dan merintih seolah-olah Allah itu jauh daripadanya,walhal Allah SWT berfirman :

 

ولقد خلقنا الانسان ونعلم ما توسوس به نفسه ونحن أقرب اليه من حبل الوريد

 

Mafhumnya : Dan demi sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia,dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya,sedang pengetahuan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya. ( Surah Qaf ayat 16 )

 

  • Pengharapan kepada yang lain daripada Allah lantaran pergantungan anda kepada al-asbab mengatasi pergantungan kepada ketentuan Allah.Sifat malu kepada Allah adalah adab yang tertinggi bagi orang yang menjalani jalan Allah.Justeru itulah mafhum daripada hadith Rasulullah SAW bahawa malu itu sebahagian daripada iman.
  • Pergantungan kepada selain Allah juga membawa kepada syirik yang jail dan khafi akibat jurang yang luas wujud di antara hati seseorang yang berpenyakit.Perbuatan itu adalah sejahat-jahat adab dengan Allah
  • Jelas di sini bahawa munajat kita kepada Allah adalah tuntutan akhlak dan adab hamba dengan Khaliqnya.Doa itu sendiri adalah wasilah bukannya matlamat yang mutlak dan yang menjadi tempat pergantungan.Allah Maha Mengetahui apa yang kita hajatkan,tetapi kita berdoa kerana perbuatan itu adalah perintahNya dan suatu kaedah untuk kita menghampiriNya,Firman Allah SWT :

 

قل ادعوا الله أو ادعوا الرحمن أياما تدعوا فله الأسمآء الحسني ولا تجهر بصلاتك ولا تخافت بها وابتغ بين ذلك سبيلا

Mafhumnya : Katakanlah ( Wahai Muhammad SAW ) :” Serukanlah nama Allah atau nama Ar-Rahman yang mana sahaja kamu serukan ( dari kedua-dua nama itu adalah baik belaka ); kerana Allah mempunyai banyak nama-nama yang baik serta mulia.Dan janganlah engkau nyaringkan bacaan do’a atau sembahyangmu,juga janganlah engkau perlahankannya,dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu.” ( Surah al-Isra` ayat 110 )

Hikmah ke 22

SETIAP HELAAN NAFAS HAMBANYA DALAM PERTIMBANGAN QADAR ALLAH

 

ما من نفس تبديه ، الا وله فيك قدر يمضيه

Maksudnya : Setiap nafas yang dihela sentiasa berada dalam pertimbangan qadar Allah SWT

 

Apa yang diungkapkan oleh Syeikh Ibn ‘AtaiLlah as-Sakandari q.s. telah dijelaskan oleh Allah SWT sendiri di dalam al-Quran,surah al-An’am ayat 59-60,firmanNya :

 

وعنده مفاتح الغيب لا يعلمها الا هو ويعلم ما في البر والبحر وما تسقط من ورقة الا يعلمها ولا حبة في ظلمات الأرض ولا رطب ولا يابس الا في كتاب مبين * وهو الذي يتوفكم باليل ويعلم ما جرحتم بالنهار ثم يبعثكم فيه ليقضي أجل مسمي ثم اليه مرجعكم ثم ينبئكم بما كنتم تعملون *

 

Maksudnya : “ Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib,tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja,dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut; dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya,dan tidak jatuh sebiji bijirin pun dalam kegelapan bumi dan tidak berguguran yang basah mahupun yang kering  melainkan semuanya ada tertulis di dalam kitab ( Luh Mahfuz ) yang terang nyata.Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam,dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Dia bangunkan kamu dari tidur,untuk disempurnakan ajal  kamu yang telah ditetapkan.Kemudian kepadaNyalah kamu akan kembali,kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang telah kamu lakukan.”

 

  • Perkataan  al-nafs  dalam konteks ini adalah nyawa atau nafas yang keluar masuk daripada badan manusia dan mengambil masa yang tertentu.Sehubungan ini setiap nafas yang dihela senantiasa terikat dengan qadar atau ketentuan Allah.Sememangnya ketentuan atau qadar Allah terlaksana dengan qudrat dan iradat Allah Yang Maha Bijaksana.Apa yang berlaku sebenarnya telah ditetapkan sejak azali dan kesemuanya berada dalam ilmu Allah Yang Maha Mendalam lagi Maha Luas.
  • Perlu diinsafi bahawa ketetapan dan taqdir Allah SWT ke atas segala makhlukNya terbahagi kepada dua bentuk :

i           Segala yang dicipta oleh Allah adalah berada di bawah ketentuan Allah secara langsung tanpa ada usaha dan ikhtiar atau pilihan makhlukNya (  مسير/ musayyar ) contohnya peredaran bumi,bulan,matahari dan segala planet adalah ketentuan Allah yang mutlak.

ii           Terdapat juga ketentuan Allah yang  memberi peluang kepada hamba-hambaNya untuk berusaha dan berikhtiar seperti semua perbuatan yang mengandungi niat dan tujuan tertentu.Laku perbuatan seperti ini mengandungi nilai baik buruk,pahala dosa,mulia hina,indah dan jelek.

 

  • Beriman kepada qadha` dan qadar Allah adalah salah satu rukun dan prinsip keimanan dalam Islam.Keterangan daripada Saidina Ali Kr.W. ketika menjawab soalan mengenai qadha` dan qadar Allah adalah sebagaimana berikut :

i           Ketika Allah menjadikan anda,adakah Dia menciptakan anda menurut kehendakNya atau menurut kehendak anda ?

ii           Adakah Allah menghidupkan anda menurut kehendakNya atau kehendak anda ?

iii          Adakah Allah mematikan anda menurut kehendakNya atau kehendak anda ?

iv          Setelah itu anda diperhitungkan,adakah perhitungan Allah itu menurut kehendakNya atau kehendak anda ?

  • Qadar Allah yang terlaksana ke atas setiap nafas yang dihela hendaklah diterima dengan penuh kehambaan dan ketaatan.Tidak kira hembusan nafas itu bersifat kurniaanNya atau sebaliknya.Bersifat melapangkan atau menyempitkan,bersifat mengadakan atau meniadakan.Tidak boleh dipertikaikan lagi qadar Allah ke atas setiap nafas yang dihembuskan atau nafas yang ditarik kesemuanya dalam ketetapanNya samada kita rela atau sebaliknya.Firman Allah :

 

أفغير دين الله يبغون وله أسلم من في السماوات والأرض طوعا وكرها واليه يرجعون

 

Mafhumnya : Patutkah sesudah itu mereka mencari yang lain daripada peraturan Allah ? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi,samada dengan sukarela atau pun terpaksa,dan kepadaNyalah mereka dikembalikan.( Al-Quran,Surah Ali ‘Imran ayat 83 )

Hikmah ke 23

HALANGAN BUKAN TABIR UNTUK BERMURAQABAH

 

لا تترقب فروغ الأغيار، فان ذلك يقطعك عن وجود المراقبة له فيما هو مقيمك فيه

 

Jangan menunggu halangan terhenti lantaran yang demikian itu akan menyingkirkan anda daripada bermuraqabah ( mengintai-intai ) terhadap kebesaran Allah sehingga anda buntu termangu berdepan dengan halangan yang ditimpakan ke atas anda

 

  • Muraqabah yang dimaksudkan di sini ialah mentahqiqkan atau meyakinkan hati melalui penilikan terhadap haq Allah secara zahir dan batin ke atas segala makhluknya atau disebut sebagai pengkajian fenomena tabii.
  • Muraqabah juga bermakna memandang kepada hakikat taqdir Allah serta tidak bergantung kepada tadbir.Justeru itu senangkan dan tenangkan hati anda daripada pergantungan kepada selain Allah serta jangan merasa kesal dengan segala ujian dan bala` yang ditimpakan olehNya.
  • Sehubungan ini jangan kiranya halangan,fitnah,mehnah dan kurbah menjadi sebenar-benar halangan untuk beramal,menjalani jalan Allah dan bermujahadah.Sebaliknya biarlah kesemua itu menjadi baja dan air yang menyubur dan menyirami ruh al-jihad,ruh al-amal dan ruh al-Ithar. Berita kesyahidan para sahabat Rasulullah SAW yang terkandung dalam surah al-Ankabut ayat 2-3 telah memarakkan daya juang dan daya amal mereka.Firman Allah SWT :

 

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولواء آمنا وهم لا يفتنون* ولقد فتنا الذين من قبلهم فليعلمن الله الذين صدقوا وليعلمن الكاذبين

 

Mafhumnya : Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu fitnah ? Dan demi sesungguhnya ! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka,maka dengan ujian-ujian demikian,nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman,dan nyata pula yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

 

  • Masa dan haq adalah anugerah Allah yang dibataskan ke atas hamba-hambaNya.Lantaran itu pengisian masa dan penunaian haq adalah peluang keemasan untuk manusia mengambilnya dan merebutnya.Apabila hari ini dan esuk telah menjadi kelmarin maka penyesalan tidak berguna.Waktu yang diberi itu kadang-kadang berada dipenghujung kesempatan.Renungkanlah firman Allah di dalam surah al-Asr yang dibahaskan oleh Imam al-Tabari di dalam Tarikh al-Umam wal Muluk nya sebagai waktu sore yang menghampiri kegelapan malam.Asy-Syahid Sayyid Qutub di dalam Tafsir Fi Zilal al-Quran nya ( Tafsir ayat akhir Surah al-Munafiqun ) melihat masa dan haq sebagai fursah atau kesempatan yang perlu direbut dan dibubut.
  • Jangan tunggu haq al-waqt ( peluang masa ) yang dikurniakan pada hari ini sehingga hari esuk.Itu adalah penantian yang membinasakan lantaran Allah tidak menangguhkan masa apabila telah tiba ajalnya.
  • Abu Hafs r.a. menyatakan :

 

الفقير الصادق هو الذي يكون في كل وقت بحكمه، فاذا ورد عليه وارد يشغله عن حكم وقته يستوحش منه ويتقيه

 

Ertinya : Hamba Allah yang merasa kerdil di hadapan Allah sentiasa berada dalam setiap masa yang ditetapkan serta mengisi kewajipan menurut hokum waktu.Justeru itu apabila dia berdepan dengan kebimbangan dan kegawatan masa,dia amat risau lantas hokum waktu tetap dipeliharanya dengan penuh ketaqwaan.

 

  • Sehubungan ini Sahl bin Abdullah r.a. menyarankan :

 

اذا جنك الليل فلا تؤمل النهار حتي تسلم ليلتك تلك،وتؤدي حق الله فيها،وتنصح فيها لنفسك،واذا أصبحت فكذلك

 

Mafhumnya : Apabila malam hari telah menjenguk anda,maka janganlah anda fikirkan siang harinya,sehinggalah anda memanfa’atkan malam anda itu.Hendaklah anda menunaikan haq Allah pada malam itu,dan sewajarnya anda membetulkan diri anda dengan bermuhasabah pada malam itu.Apabila anda didatangi pagi hari situasi anda hendaklah sebagaimana anda di malam tadi.

 

  • Abu Hafs merumuskan pendirian golongan ‘arifin tentang haq al-waqt :

 

متي يستريح الفقير ؟ فقال : اذا لم ير وقتا غير الوقت الذي هو فيه

 

Maksudnya : Bilakah masanya seorang faqir yang menjalani jalan Allah boleh berehat dan damai ? Jawab Hafs : Apabila dia tidak lagi melihat masa selain hanya masa yang dia berada di dalamnya.

Hikmah ke 24

KESULITAN DAN RINTANGAN LUMRAH KEHIDUPAN

 

لا تستغرب وقوع الأكدار ، ما دمت في هذه الدار ، فانها ما أبرزت الا ما هو مستحق وصفها ، وواجب نعتها

 

Maksudnya : “ Jangan merasa gusar terjadinya pelbagai kesulitan selagi anda masih berada di dunia ini,lantaran apa jua kesulitan yang menimpa itu adalah yang sepatutnya bersifat demikian dan mestilah ia bersifat demikian.”

 

  • Allah SWT telah menjadikan kehidupan dunia sebagai medan yang dipenuhi dengan ujian dan fitnah ke atas manusia.Tujuannya supaya manusia menghadapinya dengan penuh kesabaran dan sifat-sifat murni yang lain.Setelah mereka berjaya melepasi ujian dan fitnah itu mereka akan kembali kepada Allah untuk menerima ganjaran keredhaan,keampunan dan rahmat Allah.Sehubungan ini Allah SWT menyatakan :

 

كل نفس ذائقة الموت ونبلوكم بالشر والخير فتنة والينا ترجعون

 

Mafhumnya : Setiap jiwa pasti merasai kematian,dan Kami uji kamu dengan kejahatan dan kebaikan,dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan. ( Surah Al-Anbiya` ayat 35 )

 

  • Kesulitan adalah sesuatu yang lazim dan lumrah dalam kehidupan dunia sehingga seorang sufi yang bernama Ja’afar al-Shadiq berkata :

 

من طلب ما لم يخلق * أتعب نفسه ولم يرزق

 

Maksudnya : Barangsiapa yang mencari sesuatu yang tidak diciptakan Allah, sudah tentu ia adalah pencarian yang meletihkan dan tidak ada rezeki baginya.

Orang ramai bertanya apakah yang dimaksudkan dengan sesuatu yang tidak dicipta Allah di dunia ini.Jawab al-Shodiq : Istirehat di dunia ini.

  • Sehubungan ini sufi al-Shodiq berkata lagi :

تطلب الراحة في دار الفناء  *  خاب من يطلب شيئا شيئا لا يكون

 

Maksudnya : Anda mencari kerehatan di dunia yang fana` ini, rugilah seseorang yang mencari sesuatu yang tidak ada.

 

  • Ibn Mas’ud r.a. merumuskan sifat yang lazim bagi dunia dengan katanya :

 

الدنيا دارهم وغم فما كان منها من سرور فهو ربح

 

Maksudnya : Dunia adalah negeri kesusahan dan kedukacitaan,maka andainya terdapat kesusahan di dunia anggaplah ia satu keberuntungan.

 

  • Syeikh Junaid al-Baghdadi mengupas apa yang disuarakan oleh Ibn Mas’ud r.a. dengan katanya : Aku tidak tertarik terhadap dunia yang kadang-kadang ia datang kepadaku, dalam hal ini aku telah menetapkan bahawa bahawa dunia ini tempat manusia bersusah payah dan bergundah gulana,tempat yang dipenuhi bala` dan fitnah.Sesungguhnya alam ini penuh dengan kejahatan sesetengah daripada falsafah alam ini ialah ia mendatangi aku dengan apa yang aku tidak senangi,maka jika ia datang dengan apa yang ku senangi itu adalah suatu anugerah,dan jika tidak maka yang asal ialah ketetapan ku yang awal tadi.
  • Abu Turab r.a. berkata : Wahai manusia ! kamu mencintai 3 perkara walhal yang ketiga bukan milikmu :

1          Kamu mencintai dirimu,pada hal ia adalah milik hawa nafsu,

2          kamu mencintai ruh mu pada hal nyawa adalah milik Allah,

3          kamu mencintai hartamu padahal adalah milik waris yang bertukar ganti,turun temurun.

  • Setelah kita insafi semua itu tentang dunia ini maka jadikanlah dunia ini tempat beramal dan berbekal demi perjalanan yang jauh.Beramal dalam ruang lingkup yang luas.Sabar adalah senjata dan teman yang paling berguna dalam menempuh dugaan dunia ini lantaran itu Allah SWT menyatakan :

انما يوفي الصابرون أجرهم بغير حساب

Mafhumnya : “…Hanya sesungguhnya orang-orang yang sabar akan dibayar dengan pahala yang cukup tanpa batasan lagi. ( Surah Az-Zumar ayat 10 )

  • Saidina Ali KarramaLlahu wajhah mengupas kesabaran dengan katanya :

 

الصبر من الايمان بمنزلة الرأس من الجسد، لا جسد لمن لا رأس له، ولا ايمان  لمن لا صبر له

Mafhumnya :Sabar itu sebahagian daripada iman yang berkedudukan seperti kepala bagi sebatang tubuh.Tidak ada gunanya sebatang tubuh yang tidak berkepala dan tidak ertinya keimanan bagi orang tiada kesabaran.

Hikmah ke 25

PENYERAHAN DIRI KEPADA ALLAH ADALAH JALAN PENYELESAIAN

 

ما توقف مطلب أنت طالبه بربك ، ولا تيسر مطلب أنت طالبه نفسك

 

Mafhumnya : “ Tidak akan terhenti tuntutan selagi anda mengharapkannya daripada Tuhanmu,demikian juga tidak akan mudah sesuatu harapan untuk tercapai andainya anda bergantung dengan diri sendiri.”

 

Terdapat tiga syarat untuk kita sebagai hamba Allah menyerahkan diri dan bergantung harap dengan Allah SWT :-

  • Penyerahan diri demi apa yang dicita-citakanالتفويض في المراد  )
  • Bertawakkal kepada Allah dalam menghasilkan apa yang diharap-harapkan agar ia selaras dengan keredhaan Allah

(   التوكل في التحصيل   ).

Sebagaimana wasiat Luqman al-Hakim kepada murid-muridnya :

 

ومن الايمان بالله عز وجل : التوكل علي الله ، فان التوكل علي الله يحب العبد، وان التفويض الي الله من هدي الله ، وبهدي الله يوافق العبد رضوان الله، وبوافقة رضوان الله يستوجب العبد كرامة الله

 

Mafhumnya : Dan bertitiktolak daripada keimanan kepada Allah ‘Azza Wajalla wujudnya tawakkal kepada Allah,lantaran itu tawakkal kepada Allah pula membawa natijah cinta Allah ke atas hambaNya.Sesungguhnya menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah adalah berpunca daripada pertunjuk Allah.Dan dengan pertunjuk Allah itu mensejajarkan hamba Allah itu dengan keredhaan Allah.Apabila dia berada dalam keadaan sejajar dengan keredhaan Allah semestinya hamba Allah itu dikurniakan pula dengan kemuliaan dari Allah SWT. ( Abu Thalib al-Makki,Qutub al-Qulub Fi Mu’amat il-Mahbub Wa Wasfi Tariq al-Murid Ila Maqam al-Tauhid,Juz 2,halaman 4,Percetakan Mustafa al-halabi ,Mesir )

 

  • Tetap pendirian dalam melaksanakan titah perintah Allah

الاستقامة في التوجه  )

Perkara kedua yang perlu diingatkan di sini bahawa jangan terlalu bergantung kepada keupayaan akal dan fizikal kita sebagai hamba Allah yang kerdil dihadapan kebesaran kekuasaanNya.Apabila kita terlalu meyakini usaha sendiri akan membawa tiga implikasi ;

i           Kita terlalu ghairah untuk mengejar apa yang dicita-citakan tanpa mengingati pertolongan Allah.

ii           Kita meyakini usaha hamba memberi bekas serta kurang tawakkal kepada Allah.

iii          Tanpa taqwa dan istiqamah akan menjerumuskan seseorang itu mengikut runtunan nafsu yang menggelincirkan dia daripada jalan Allah.

 

Sehubungan ini Nabi Muhammad SAW berwasiat kepada Abdullah bin Abbas r.a. dengan sabdanya :

اذا سألت فاسئل الله ، واذا استعنت فاستعن بالله ، واعلم أن الخلائق لو جاهدوا أن ينفعوك بما لم يكتبه الله لك ، ما قدروا علي ذلك ، ولو جاهدوا أن يضروك بشيء لم يكتبه الله سبحانه لك ، لم يقدروا علي ذلك ، طويت الصحف وجفت الأقلام

 

Mafhumnya : Apabila anda ingin memohon sesuatu maka mohonlah kepada Allah.Apabila anda ingin meminta pertolongan maka mintalah ia kepada Allah.Ketahuilah seandainya segala makhluk bersusah payah untuk menolong anda dengan sesuatu yang tidak ditulis Allah untuk anda,pasti mereka tidak akan sanggup berbuat demikian.Dan seandainya segala makhluk ingin memudaratkan anda dengan sesuatu yang ditulis Allah akan menimpa anda,pasti mereka juga tidak akan berupaya berbuat demikian.Segala lembaran catitan telah tersurat dan segala pena telah ketandusan.

 

Amir Abdullah al-Sufi telah menyatakan apabila ku baca tiga ayat suci al-Quran ini maka semua permasalahan yang ku hadapi terungkai dan jiwaku menjadi damai,firman Allah SWT :

1          وان يمسسك الله بضر فلا كاشف له الا هو وان يردك بخير فلا راد لفضله يصيب به من يشاء من عباده وهو الغفور الرحيم

Mafhumnya : Seandainya Allah menimpakan kemudaratan ke atas anda,tiada yang dapat menghalangnya selain Dia.Dan seandainya Allah hendak mengurniakan kebaikan ke atas anda,tiada pula yang dapat menghalang kurniaanNya.Dia menganugerahkan kebaikan ke atas siapa sahaja yang dikehendakiNya di kalangan hamba-hambaNya.Dan Dia Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih.( Surah Yunus ayat 107 )

 

2          فاذكروا ني أذكركم واشكروا لي ولا تكفرون

Mafhumnya : Hendaklah kamu semua ingat kepadaKu supaya Aku juga sentiasa mengenangNu.Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu mengingkari ni’matKu. ( Surah al-Baqarah ayat 152 )

 

3          وما من دابة في الأرض الا علي الله رزقها ويعلم مستقرها ومستودعها كل في كتاب مبين

Mafhumnya : Tidak ada sesuatu yang merayap di bumi melainkan rezekinya ditetapkan oleh Allah dan Dia mengetahui tempat tinggalnya dan tempat penyimpanannya.Segala yang tersebut itu termaktub di dalam kitab yang nyata.( Surah Hud ayat 6 )

Hikmah ke 26

KEJAYAAN DI PENGHUJUNG PERJUANGAN NATIJAH KEMBALI KEPADA ALLAH DI AWALNYA

 

من علامة النجح في النهايات الرجوع الي الله في البدايات

 

Mafhumnya : Di antara tanda kejayaan dipenghujung perjuangan ialah perkembalian kepada Allah di awal-awal perjuangan lagi.

 

  • Kejayaan seseorang mencapai keredhaan Allah dihujung perjalanan hidupnya adalah hasil daripada penyerahan diri atau bertawakkal kepada Allah sejak permulaan perjalanannya lagi.Sebaliknya seseorang yang hidup mengikut hawa nafsu sejak permulaan perjalanan hidupnya tentunya akan ditimpa kerugian dalam penghujung kehidupannya.
  • Penjelasan tentang konsep tawakkal ini telah dibentangkan oleh Abu Ali al-Daqqaq rh yang mengatakan

:للمتوكل ثلاث درجات

التوكل،التسليم ثم التفويض فالمتوكل يسكن الي وعده ، وصاحب التسليم يكتفي بعلمه ،وصاحب التفويض يرضي بحكمه.التوكل بداية، والتسليم واسطة ، والتفويض نهاية والتوكل هو الأكل بلا طمع

التوكل صفة المؤمنين والتسليم صفة الأولياء والتفويض صفة الموحدين.فالتوكل صفة العوام والتسليم صفة الخواص والتفويض صفة خواص الخواص . والتوكل صفة الأنبياء والتسليم صفة ابراهيم عليه السلام والتفويض صفة نبينا محمد صلي الله عليه وسلم .

 

Mafhumnya : Ada tiga peringkat orang yang bertawakkal kepada Allah :

1          Tawakkal                                2          Penyerahan diri atau taslim

3          tafwidh.

Orang yang bertawakkal akan merasa tenteram dengan janji Allah,orang yang menyerah diri akan merasa cukup dengan ilmu Allah dan orang yang mencapai tafwidh akan merasa redha dengan kebijaksanaan Allah.Tawakkal itu adalah tahap terawal dalam perjalanan hidup Mu`min,penyerahan diri atau ketundukan kepada Allah ( taslim ) pula adalah di tengah-tengah perjalanannya,manakala tafwidh pula adalah di penghujung perjalanannya.Tawakkal adalah keadaan orang yang makan tanpa adanya sifat tamak. Tawakkal adalah sifat orang-orang yang beriman,Taslim pula sifat para Awliya` dan Tafwidh adalah sifat orang-orang yang mentauhidkan Allah.Tawakkal adalah sifat orang Mu`min awam,Taslim adalah sifat orang khawas ,manakala tafwidh adalah sifat orang khawas al-khawas.Tawakkal pula adalah sifat para Anbiya`,Taslim pula sifat Nabi Ibrahim a.s. dan tafwidh pula adalah sifat Nabi Kita Muhammad SAW.( Dipetik daripada al-Risalah al-Qusyayriyyah fi “ilm al-Tasawwuf,Beirut; Dar Ihya` turath al-‘Arabi,1419H=1998,halaman 239-240 )

 

 

  • Sehubungan seorang sufi yang bernama Abu Ya’akub An-Nahajuri ( md 330H/941M berkata :

من كان شبعه بالطعام لم يزل جائعا ، ومن كان غناه بالمال لم يزل فقيرا ، ومن قصد بحاجته غير الله لم يزل محروما ، ومن استعان علي أمره بغير الله لم يزل مخذولا

Mafhumnya : Barangsiapa yang kenyangnya dengan sebab makanan,ia akan sentiasa lapar.Barangsiapa yang kayanya dengan sebab harta,ia akan sentiasa papa.Barangsiapa yang tujuannya selain Allah untuk mencapai keperluannya,dia akan sentiasa diharamkan untuk mencapai tujuannya dan barangsiapa yang mengharapkan pertolongan selain Allah dalam menangani urusan hidupnya nescaya dia akan ditimpa kehinaan.

 

Tawakkal menurut Abu Ismail al-Harawi di dalam Manazil al-Sairinnya ialah menyerahkan segala urusan itu kepada Pemilik urusan itu lantaran itu Allah berfirman :

ليس لك من الأمر شيء

Maksudnya : Engkau tidak berhak sedikit pun dalam urusan itu ( kerana segala urusan itu tertentu bagi Allah semata-mata ).( Surah Ali ‘Imran ayat 128 )

Firman Allah lagi :

وأنفقوا مما جعلكم مستخلفين فيه

Mafhumnya : Dan belanjakanlah pada jalan kebajikan sebahagian daripada hartabenda pemberian Allah yang dijadikanNya kamu menguasainya sebagai wakil.( Surah al-Hadid ayat 7 )

 

Dalam konteks ini kejayaan sebenar seseorang yang menjalani jalan Allah yang mengikuti landasan tawakkal,taslim dan tafwidh sayugia melalui tiga tahap derjat tawakkal :

 

1          التوكل مع الطلب  ( Tawakkal beserta menuntut kurniaan Allah SWT )

 

2          التوكل مع اسقاط الطلب  ( Tawakkal beserta menggugurkan tuntutan )

 

3          التوكل مع معرفة التوكل النازعة الي الخلاص  ( Tawakkal beserta mengenali hakikat tawakkal yang mendorong kepada ketulusan yang hening kepada Allah SWT )

Hikmah ke 27

KECEMERLANGAN DI PENGHUJUNG KEHIDUPAN LANTARAN CEMERLANG DI AWALNYA

 

من أشرقت بدايته أشرقت نهايته

Mafhumnya : Sesiapa yang telah mencapai kecemerlangan pada permulaan perjalanan hidupnya,dia juga akan mencapai kecemerlangan di penghujung kehidupannya

 

  • Abdullah al-Syarqawi menyatakan kalam hikmah tersebut menekankan bahawa orang yang cemerlang dan berjaya di penghujung perjalanan hidupnya adalah lantaran dia berusaha dengan bersungguh-sungguh serta teliti dalam perjuangannya sejak dari awal perjalanannya lagi.
  • Bertitik tolak daripada hakikat tersebut Rasulullah صلي الله عليه وسلم telah bersabda ( sebahagian daripada hadithnya ) yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi di dalam Sunannya yang mengkategorikan Bani Adam atau manusia kepada empat kelompok ,sabdanya :

 

ألا ان بني آدم خلقوا علي طبقات شتي فمنهم من يولد مؤمنا ويحيي مؤمنا ويموت مؤمنا ومنهم من يولد كافرا ويحيي كافرا ويموت كافرا ومنهم من يولد مؤمنا ويحيي مؤمنا ويموت كافرا ومنهم من يولد كافرا ويحيي كافرا ويموت مؤمنا

Mafhumnya : Ketahuilah ! Sesungguhnya Bani Adam telah diciptakan dalam pelbagai peringkat ;

i           Sebahagian daripada mereka dilahirkan ke  dunia sebagai seorang Mu`min,hidup sebagai Mu`min dan mati pun sebagai Mu`min,

ii          Sebahagiannya pula dilahirkan ke dunia sebagai seorang kafir,hidup pun sebagai orang kafir dan matinya pun sebagai seorang kafir,

iii         Sebahagian yang lain pula lahir ke dunia sebagai Mu`min ,hidup pun sebagai seorang Mu`min tetapi malangnya mati sebagai seorang kafir,

iv         Sebahagiannya pula lahir ke dunia sebagai seorang kafir,hidup sebagai seorang kafir (dan beruntungnya dia) mati sebagai Mu`min

 

Sehubungan ini Sahl bin Adullah menyatakan :

خوف الصديقين خوف سوء الخاتمة عند كل خطرة وكل حركة

Mafhumnya : Kebimbangan orang-orang yang benar dan sholeh pada setiap lintasan hati dan tindak tanduknya ialah mati dalam keadaan su`ul khatimah.

 

 

  • Kisah Barshisha boleh dijadikan pengajaran tentang perlunya istiqamah,kewaspadaan dan tawadhok di dalam kita beribadat kepada Allah lantaran persoalan su`ul khatimah dan husnul khatimah sesuatu yang tidak boleh ditentukan oleh seseorang.Barshisha adalah seorang zalim di zaman silam beribadat selama 220 tahun dan mempunyai ara pelajar dan pengikut seramai 60,000 orang.Para malaikat turut mengkagumi kesholehannya lantas Allah berfirman kepada para malaikat; Mengapa kamu kagum kepada Barshisha ? Padahal Aku lebih mengetahui tentang keadaannya ? Dalam ilmuKu Barshiha akan kafir dan akan dimasukkan ke neraka jahannam selama-lamanya.
  • Berikutnya datang iblis untuk memperdaya Barshisha dengan cara bersahabat dengannya dan sama-sama beribadat dengan tekun.Iblis beribadat tanpa makan dan minum dan tanpa tidur.Keadaan itu menghairankan Barshisha lantas dia bertanya.Bagaiamana mahu beribadat bersungguh-sungguh seperti itu.Iblis menyatakan engkau hendaklah menderhaka kepada Allah dan kemudian bertaubat kepadaNya nescaya Allah akan menerima taubatmu itu.Akhirnya Barshisha meminum arak,berzina dan membunuh orang dan dia dihukum sebatan sebanyak 80 sebatan kerana meminum arak,ditambah dengan 100 sebatan kerana berzina dan dihukum gantung sampai mati.Sebelum dia digantung iblis datang kepadanya dan berjanji untuk melepaskannya dari tali gantung dengan syarat Barshisha mesti menyembah iblis.Barshisha menyembah iblis dan dia mati dalam keadaan kufur.Allah meriwayatkan peristiwa ini di dalam surah al-Hasyr ayat 16 dengan firmanNya :

 

كمثل الشيطان اذ قال للانسان اكفر فلما كفر قال اني بريء منك اني أخاف الله رب العالمين

Mafhumnya : ( Sikap Golongan Munafiq dan Orang-orang Yahudi itu) samalah seperti ( sikap ) syaitan ketika dia berkata kepada manusia ; Berlaku kufurlah engkau ! Setelah orang itu berbuat kufur berkatalah syaitan kepadanya:”Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu,kerana sebenarnya aku takut kepada Allah,Tuhan yang menguasai sekalian alam !”.

 

  • Rumusannya sejak di permulaan perjalanannya seseorang mujahid pada jalan Allah itu sentiasa berbimbang-bimbang terhadap kemurkaan Allah dan di penghujung hayatnya dia akan menikmati kelazatan bermusyahadah terhadap kebesaran dan kebijaksanaan Allah.Tegasnya seandainya seseorang yang menjalani jalan Allah sejak awal lagi berusaha menyucikan diri daripada sifat-sifat mazmumah dan menghiaskan diri dengan sifat-sifat mahmudah nescaya dengan izin Allah pada nihayahnya dia akan sampai ke tahap berupaya menilik segala kebesaran dan keagungan Allah dengan segala peraturanNya.

Hikmah ke 28

ZAHIR YANG TERSURAT ADALAH GAMBARAN BATIN YANG TERSIRAT

 

ما استودع في غيب السرائر ، ظهر في شهادة الظواهر

 

Maksudnya : Sesuatu yang tersembunyi di sebalik rahsia-rahsia hati,terungkap nyata dapat disaksikan dalam realiti kehidupan

 

Menurut Ibn ‘AtaiLlah zahir itu merupakan cerminan kepada hal ehwal batin.Umpamanya seseorang yang batinnya mengenal Allah akan mencetuskan kecintaan dan kerinduannya kepada Allah.Sebaliknya orang yang jahil dan tidak mengenal Allah nescaya dia akan mengharapkan dan bergantung kepada yang lain daripada Allah SWT.Berasaskan kenyataan tersebut segala tindakan dan amalan yang zahir amat dipengaruhi dan ditentukan oleh keadaan hati dan jiwa seseorang..Apabila keadaan hatinya dihiasi dengan sifat mahmudah atau terpuji seperti sabar,berani,bijaksana dan redha maka akan menyusul amalan-amalan yang sholeh mengiringinya.Sebaliknya apabila hati seseorang itu dihiasi dengan sifat-sifat mazmumah atau tercela seperti hasad,khianat,takabbur, ‘ujub dan riya` maka akan menyusul selepasnya satu set perbuatan dan tindakan yang memanefestasikan keadaan batin seseorang itu.

 

Justeru itu zahir itu dinisbahkan sebagai tentera kepada yang batin.Jikalau khusyu’ hati seseorang maka akan khusyu’ ( tenang dan tunduk ) juga segala pancainderanya.Apabila hati itu dipenuhi dengan nur hidayah maka ia akan melimpah ke seluruh anggota manusia dengan amalan-amalan mulia seperti membantu orang-orang yang memerlukan bantuan,bersedekah,berdakwah dan menyebarkan ilmu kepada manusia.

 

Sehubungan ini Allah SWT menggambarkan keadaan hati orang-orang yang tidak beriman dan mensyirikkan Allah yang telah mempengaruhi tindakan-indakan zahirnya.FirmanNya :

 

واذا ذكر الله وحده اشمأزت قلوب الذين لا يؤمنون بالأخرة واذا ذكر الذين من دونه اذا هم يستبشرون

 

Maksudnya : Dan (diantara keburukan orang-orang yang melakukan syirik):apabila disebut nama Allah semata-mata,menjadi liarlah hati-hati orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat.Sebaliknya apabila  disebut nama-nama yang mereka puja ang lain daripada Allah,mereka dengan serta merta riang gembira. ( Surah al-Zumar ayat 45 )

 

Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Hasan al-Basri telah ditanya tentang konsep hati yang terbuka atau berdada lapang,lantas Rasulullah SAW merujuk kepada firman Allah SWT  :

 

فمن يرد الله أن يهديه يشرح صدره للا سلام ومن يرد أن يضله يجعل صدره ضيقا حرجا كأنما يصعد في السمآء كذلك يجعل الله الرجس علي الذين لا يؤمنون

 

Maksudnya : Barangsiapa ang dikehendaki Allah akan menunukinya,nescaya terbuka dadanya untuk menerima Islam.Barangsiapa yang dikehendaki Allah untuk disesatkan nescaya sempitlah dadanya,seolah-olah dia hendak naik mendaki ke langit.Demikianlah Allah menjadikan kejelikan itu bagi orang-orang yang tidak beriman.( Surah al-An’am ayat 125 )

 

Sehubungan ini Rasulullah SAW menjelaskan bahawa hati yang tenteram adalah apabila nur Ilahi telah dianugerahkan oleh Allah ke dalam hati seseorang  maka dadanya menjadi lapang dan cenderung kepada kebenaran dan hatinya menolak kebatilan dan apa jua yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Hikmah ke 29

MENGAMBIL DALIL DENGAN ALLAH SWT ADALAH HAKIKAT MENGENAL ALLAH SWT

 

شتان بين من يستد ل به أو يستدل عليه. المستد ل به عرف الحق لأهله، وأثبت الأمر من وجود أصله.والاستدلال عليه من عدم الوصول ا ليه ، والا فمتي غاب حتي يستدل،ومتي بعد حتي تكون الأثار هي ا لتي توصل ا ليه.

 

Maksudnya :

Perbezaan antara sesiapa yang mengambil dalil dengan Allah dan sesiapa yang mengambil dalil atasNya ( adalah sebagaimana berikut ) :

  • Sesiapa yang mengambil dalil dengan Allah adalah orang yang benar-benar mengenal Allah serta menetapkan segala sesuatu berlandaskan kewujudannya yang asal.
  • ( Sesiapa yang ) mengambil dalil atas Allah lantaran tidak sampai pengenalan kepadaNya
  • Seandainya tidak ( demikian itu ),ketika mana Allah tidak kelihatan sehingga ( waktu itu,terpaksalah dia ) mengambil dalil atasNya,
  • Manakala Allah jauh sehingga ( pada ketika itu ) adalah segala tanda-tanda lahiriahNya itulah sahaja yang menyampaikan seseorang kepada mengenaliNya.

 

Ketiadaan,kejahilan dan meraba-raba adalah permulaan fasa kehidupan insan sehinggalah dia dianugerahkan ilmu,pengetahuan dan pertunjuk Allah.Hakikat ini disebut oleh Al-Quran di pelbagai ayatnya.Di dalam Surah al-Nahl ayat 78 Allah SWT menegaskan :

 

والله أخرجكم من بطون أمهاتكم لا تعلمون شيئا وجعل لكم السمع والأبصار والأفئدة لعلكم تشكرون

Maksudnya :

Allah telah mengeluarkan kamu daripada perut ibumu,walhal kamu tidak mengetahui suatu apa pun.Dijadikan ( dikurniakan ) bagimu pendengaran,penglihatan dan hati jantung,mudah-mudahan dengan itu kamu bersyukur ( kepadaNya ).

 

Allah SWT juga menegaskan di dalam Surah al-Insan ayat 1 dan 3 :

 

هل أتي علي الانسان حين من الدهر لم يكن شيئا مذكورا * انا خلقنا الانسان من نطفة أمشاج نبتليه فجعلناه سميعا بصيرا  * انا هديناه السبيل اما شاكرا واما كفورا *

Maksudnya : Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika daripada masa (yang beredar),sedang ia (masih belum wujud lagi,dan) tidak menjadi sesuatu benda yang boleh disebut ? * Sesungguhnya Kami telah aturkan cara menciptakan manusia bermulanya dari air mani yang bercampur,sambil Kami tetap mengujinya,oleh sebab itu maka Kami jadikan  dia dengan berkeadaan mendengar dan melihat.*Sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan perutusan rasul) akan jalan,(maka terserahlah kepadanya) samada dia bersyukur ataupun dia berlaku kufur.*

 

Setelah manusia dikurniakan ma’rifah (keupayaan mengenal Allah), mereka sehubungan ini boleh dikategorikan kepada dua kelompok :

1          Kelompok hamba-hamba Allah yang dikehendakiNya dan ditarik kepadaNya

المرادون المحذبون  ).Kelompok ini bukan sahaja dianugerahkan mengenal Allah dengan ilmu pengetahuan rasional tetapi asas pengenalan mereka adalah hidayah dan keimanan.Mereka mengenal makhluk dan alam adalah lantaran mereka mengenal Allah,bukan lagi mengenali Allah melalui makhluqNya atau ayatNya.Mereka dikenal sebagai ahli syuhud.Tegasnya,mereka adalah kelompok yang dipilih oleh Allah untuk menerima taufiq dan hidayahNya selaras dengan firman Allah :

الله يجتبي اليه من يشاء ويهدي اليه من ينيب

 

Maksudnya : Allah memilih sesiapa yang dikehendakiNya,dan memberi pertunjuk siapa sahaja yang kembali kepadaNya.( Surah al-Syura ayat 13 )

 

2          Kelompok yang berkehendak untuk mengenali dan menghampirkan diri kepada Allah dan sedang menjalani jalanNya  (  المريدون السالكون  )

Mereka adalah kelompok hamba-hamba Allah yang mengenali Allah melalui penelitian dan pemahaman terhadap makhluk Allah serta melalui mujahadah mereka pada jalan Allah sebagaimana firmanNya :

 

          والذين جاهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وان الله لمع المحسنين

 

Maksudnya : Orang-orang yang berjuang / mujahadah pada jalan Kami,akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.Dan sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang berbuat kebaikan. ( Surah al-Ankabut ayat 69 )

Hikmah ke 30

DERMAWAN : KREITERIA UTAMA HAMBA ALLAH YANG BERTAQWA

لينفق ذو سعة من سعته : الواصلون اليه . ومن قدر عليه رزقه : السائرون اليه

Maksudnya : Sewajarnya orang yang memiliki kelapangan harta membelanjakan harta bendanya lantaran mereka adalah golongan yang telah sampai kepada keredhaan Allah.Sebaliknya sesiapa yang dibataskan rezekinya adalah golongan yang sedang berjalan menuju keredhaan Allah.

 

Terdapat dua golongan manusia yang bergelar hamba-hamba Allah dalam konteks kalam hikmah ini.

  • Golongan yang telah sampai kepada keredhaan Allah (  الواصلون اليه  ).Kreiteria utama golongan ini adalah al-Ithar atau kesanggupan melakukan pengorbanan sebagaimana yang digambarkan oleh al-Quran tentang golongan Muhajirin dan Ansar.Segala kebaikan dan kebaktian yang dilaksanakan semata-mata kerana Allah dan bebas daripada segala bentuk syirik termasuk syirik khafi atau yang tersembunyi seperti sifat riya`,’ujub dan kibr.Firman Allah SWT :

 

والذين  تبوءو الدار والايمان من قبلهم يحبون من هاجر اليهم ولا يجدون في صدورهم حاجة مما أوتوا ويؤثرون علي أنفسهم ولو كان بهم خصاصة ومن يوق شح نفسه فأؤلآئك هم المفلحون

Maksudnya : Dan orang-orang  ( Ansar ) yang mendiami negeri ( Madinah ) serta beriman sebelum mereka,mereka mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka,dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada apa yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhijrah itu,dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri,sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat.Dan ( ingatlah ) sesiapa yang memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya,maka merekalah orang-orang yang berjaya.Surah al-Hasyr ayat 9.

 

  • Golongan yang sedang menjalani jalan untuk mencapai keredhaan Allah ( اليه السائرون   ).Sebagai orang yang berada di jalan Allah mereka perlu memiliki kesabaran yang tinggi untuk menempuh pelbagai rintangan yang menghalang perjalanannya.Imam al-Ghazali didalam Minhaj al-‘Abidinnya telah mengemukakan cabaran al-‘awa`iq ( rintangan ) yang terdiri daripada cabaran dunia,cabaran makhluk,cabaran hawa nafsu dan cabaran godaan syaitan.Manakala Fathi Yakan telah memetik sabda Rasulullah SAW ( yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal ) yang mengemukakan lima cabaran yang perlu dihadapi oleh golongan yang menjalani jalan da’wah iaitu cabaran kedengkian orang Islam,cabaran kebencian golongan munafiq,cabaran diperangi oleh orang-orang kafir,cabaran syaitan dan cabaran hawa nafsu.
  • Apabila kita meyakini bahawa semua kurniaan Allah itu merupakan pinjaman dan bersifat sementara maka kita tidak wajar bersifat bakhil untuk membelanjakan kurniaan Allah berupa harta,ilmu pengetahuan,kemahiran,pengalaman dan tenaga kepada orang lain.Justeru itu Allah SWT berfirman di dalam surah Al-Talaq ayat 7 :

 

لينفق ذو سعة من سعته ومن قدر عليه رزقه فلينفق مما  ءآتاه الله لا يكلف الله نفسا الا ما  ءآتاها سيجعل الله بعد عسر يسرا

Maksudnya : Hendaklah orang yang mampu memberi nafqah menurut kemampuannya,dan sesiapa yang disempitkan rezekinya,membelanjakan daripada apa yang dikurniakan Allah kepadanya.Allah tidak membebankan seseorang melainkan dalam kadar keupayaannya yang dianugerahkan Allah kepadanya.( Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa ) Allah akan mengurniakamn kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.

Hikmah ke 31

DARJAT ORANG YANG MENJALANI JALAN ALLAH

 

اهتدي الراحلون اليه بأنوار التوجه ، وا لواصلون لهم أنوار المواجهة ، فا لأولون للأنوار ،وهؤلاء الأنوار لهم ، لأنهم لله لا لشيء دونه . قل الله ثم ذرهم في خوضهم يلعبون

Mafhumnya :

Orang-orang yang menuju ke jalan Allah telah mendapat pertunjuk dengan cahaya tawajjuh ( yang mendorong ke jalan kebenaran ),manakala orang-orang yang telah sampai ( mengenal Allah dan mencintaiNya ) pula mereka dikurniakan cahaya muwajahah ( berhadapan dengan Allah ).Golongan yang terawal itu adalah untuk al-nur,sedangkan golongan yang kedua itu pula nur-nur buat mereka.Ini disebabkan apa jua usaha mereka kerana Allah bukan kerana yang lain daripadaNya.Katakanlah bahawa Allah jualah ( yang menurunkan kitab itu) dan  kemudian biarkanlah mereka bermain-main di dalam kesesatan.( Maksud firman Allah,Surah Al-An’am ayat 91 )”

 

  • Golongan al-Rahilun iaitu golongan yang sedang menjalani jalan Allah yang tentunya mengharapkan tawfiq dan hidayah Allah untuk menempuh cabaran-cabaran seperti :

1          Kedengkian sesama Muslim

2          Kebencian golongan munafiq

3          Penentangan golongan kafir

4          Tipu daya syaitan

5          Penguasaan hawa nafsu

 

  • Golongan al-wasilun iaitu golongan yang telah sampai kepada keredhaan Allah,mengenaliNya dan mencintaiNya.Mereka telah dikurniakan dengan cahaya pertunjuk Ilahiyah yang menyebabkan mereka menikmati kasih saying Allah dan mereka pula merindui Allah serta sanggup berkorban pada jalan Allah tanpa merasa takut dan berdukacita dengan segala mihnah atau tribulasi yang menimpa.Semua ujian itu dianggap baja yang menyuburkan iman dan ma’rifah kepada Allah .

 

  • Konsep cahaya telah diterangkan oleh Allah SWT didalam al-Quran antara lain Allah berfirman :

 

ومن لم يجعل الله له نورا فما له من نور

 

Maksudnya : Dan ( ingatlah ! ) sesiapa yang tidak dijadikan Allah-menurut undang-undang peraturanNya- mendapat cahaya ( hidayah ) maka tidaklah ia akan beroleh sebarang cahaya ( yang akan membimbingnya ke jalan yang benar )( Surah al-Nur ayat 40 ).

Firman Allah lagi :

 

الله نور السماوات والأرض مثل نوره كمشكاة فيها مصباح المصباح في زجاجة الزجاجة كأنها كوكب درى يوقد من شجرة مباركة زيتونة لا شرقية ولا غربية يكاد زيتها يضيء ولولم تمسسه نار نور علي نور يهدي الله لنوره من يشاء ويضرب الله الأمثال للناس والله بكل شيء عليم

Mafhumnya : Allah yang menerangi langit dan bumi.Bandingan nur hidayah Allah iaitu kitab suci al-Quran adalah sebagai sebuah misykat ( lubang yang tidak tembus ) yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam gelok kaca atau qandil,geluk kaca itu pula jernih terang laksana bintang yaqng bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak daripada pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turun matahari.hampir-hampir minyak itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar kerana jernihnya walaupun ia tidak disentuh api; Sinaran nur hidayat Allah yang demikian itu bandingannya adalah sinaran-sinaran yang berganda; cahaya berlapis cahaya ! Allah memimpin sesiapa sahaja yang dikehendakiNya kepada nur cahaya hidayatNa itu; dan Allah mengemukakan pelbagai perbandingan untuk renungan manusia;dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu. ( Surah al-Nur ayat 35 )

  • Kelebihan al-Wasilun ke atas al-Rahilun dapat dirumuskan daripada enam keadaan hati manusia yang digariskan oleh Imam al-Tirmizi rh :

1          Hati yang hidup iaitu hati yang penuh dengan keimanan dan ma’rifah

2          hati yang mati iaitu hati yang kufur ke atas ni’mat Allah

3          hati yang sihat yang menta’ati Allah

4          hati yang sakit iatu yang terikat dengan maksiat dan dosa

5          hati yang eluk yang sentiasa mengingati Allah

6          hati yang tidur atau yang lalai dari mengingati Allah.

Hikmah ke 32

KENALI KELEMAHAN DIRI DAN POTENSI YANG TERSEMBUNYI

 

تشوفك الي ما بطن فيك من العيوب خير من تشوفك الي ما حجب عنك من الغيوب

Mafhumnya :

Perhitungan anda ke atas apa yang tersembunyi didalam diri anda berupa keaiban dan kelemahan adalah lebih baik daripada mengukur potensi yang tersirat didalamnya

 

  • Aib menurut ulama sufi seperti Junayd al-Baghdadi ialah :

ما أوجب نقصا فيمن نسب اليه معصية ،أو غيرها جاريا كان في الأفعال أو في الأخلاق أو في الأدب متعلقا بالله أو بعباده

Maksudnya : Sesuatu yang akan membawa kekurangan diakibatkan oleh maksiat yang dikerjakan,atau diakibatkan oleh laku perbuatan,akhlak dan budi pekerti yang menyeleweng dan yang melanggar hak Allah dan hak hamba-hambaNya.

 

  • Menurut To` Pulau Manis aib yang tersembunyi itu adalah segala penyakit hati lantaran sukarnya melihat apa yang berlaku didalamnya serta payah pula untuk mengubati penyakitnya yang kronik itu.Antara penyakit hati itu adalah riya`,’ujub,berburuk sangka dengan Allah,hasad dan seumpamanya.

 

  • Langkah efektif untuk menghapuskan segala aib itu ialah dengan menyucikan segala sifat mazmumah ( yang tercela ) nscaya dengan itu terbongkar segala hijab perkara ghaib daripada asrar Allah.Antara yang disarankan oleh kaum sufi ialah mempertahankan sifat istiqamah dan jangan menuntut sifat karamah.Junayd al-Baghdadi menyatakan :

 

كن طالب الاستقامة ، ولا تكن طالب الكرامة ، فان نفسك تهزك بطلب الكرامة ، ومولاك يطالبك بالاستقامة ، ولأن تكون بحق ربك أولي من أن تكون بحظ نفسك

 

Maksudnya : Tuntutlah istiqamah,jangan mencari karamah,lantaran nafsunya menghambatmu untuk mencari kemuliaan,walhal Tuhanmu menuntutmu sentiasa beristiqamah.Sebenarya berada di sisi hak Tuhanmu adalah lebih baik daripada mengutamakan hak keuntungan dirimu sendiri.

 

  • Sehubungan ini Allah berfirman :

 

فاستقم كما أمرت ومن تاب معك ولا تطغوا انه بما تعملون بصير

 

Maksudnya : Oleh itu,hendaklah kamu ( Ya Muhammad ) sentiasa istiqamah di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu,dan hendaklah sesiapa yang bertaubat yang bersama denganmu kembali kepada kebenaran mengikutimu berbuat demikian,dan jangalah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah,sesungguhnya Allah amat melihat akan apa yang kamu kerjakan.( Surah Hud ayat 112 )

 

  • Firman Allah lagi dalam soal istiqamah ini :

 

وألواستقاموا علي الطريقة لأسقيناهم مآء غدقا * لنفتنهم فيه  ومن يعرض عن ذكر ربه يسلكه عذابا صعدا

 

Mafhumnya : Dan bahawa sesungguhnya ! andainya mereka ( manusia dan jin ) itu istiqamah di atas jalan Islam,sudah tentu Kami ( Allah ) akan menurunkan hujan lebat kepada mereka ( nisbah kepada kesenangan dan kenikmatan ).Anugerah yang demikian itu adalah sebagai ujian Kami ke atas mereka dalam menikmati apa yang telah Kami kurniakan.Dan ingatlah ! sesiapa yang berpaling dari mengingati Tuhannya,nescaya Tuhannya akan akan mencampakkannya ke dalam azab yang amat memuncak dahsyatnya.( Surah al-Jin ayat 16 dan 17 )

 

  • Sehubungan ini, Imam al-Ghazali menyarankan langkah-langkah berikut :

 

1          Seseorang itu perlu berguru dengan guru yang mursyid yang dapat membimbing para penuntutnya untuk mengatasi masalah-masalah dalaman mereka,

2          bergaul dengan orang-orang yang sholeh,

3          sentiasa mengambil iktibar dan pengajaran daripada keaiban dan penyakit yang menimpa orang lain agar kita dapat menghindarinya,

4          ambil faedah dan hikmah daripada sesiapa sahaja dalam pergaulan kita seharian.Yang baik dijadikan tauladan dan yang jahat dijadikan sempadan.

 

Akhir kalam Ibn ‘AtaiLlah menegaskan barangsiapa yang tiada mengenal ia akan hakikat dirinya dan segala aibnya nescaya tiadalah sampai ia kepada ma’rifah dan adalah ia dibelakang hijab.WaLlahu A’lam Bil Sawab.

Hikmah ke 33

INSAN MENJADI TABIR YANG MENUTUPI KEBENARAN

 

الحق ليس بمحجوب ، وانما المحجوب أنت عن النظر اليه ، اذ لو حجبه شيء لستره ما حجبه ، ولو كان له ساتر لكان لوجوده حاصر ، وكل حاصر لشيء فهو له قاهر، وهو القاهر فوق عباده .

Mafhumnya :

 

Hak Allah Yang Maha Benar itu tidak pernah terdinding.Pada hakikatnya yang yang menabiri daripada memandang kepada hak kebenaranNya ialah diri anda sendiri.Seandainya hak Allah itu ditutupi nescaya sesuatu yang menutupiNya lebih daripada zatNya Yang Maha Agung.Malah seandainya Dia dilitupi nescaya sesuatu yang lain meliputiNya.Walhal setiap yang melitupi itu adalah lebih berkuasa ke atas sesuatu.Sehubungan ini Dia lah ( Allah SWT ) Maha Berkuasa ke atas segala hambaNya.

 

  • Hakikat hijab ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firmanNya :

واعلموا أن الله يحول بين المرء وقلبه وأنه اليه تحشرون

Mafhumnya : Dan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah ( berkuasa ) mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan ( pekerjaan ) hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.

( Surah Al-Anfal ayat 24 )

  • Hijab itu pula terbahagi kepada dua :
  1.                                                              i.      Hijab al-Basar iaitu tabir penglihatan mata yang lahiriah.Penglihatan yang zahir tidak berupaya menembusi alam akhirat dan alam metafizika.Sebagaimana firman Allah SWT :

 

لا تدركه الأبصار وهو يدرك الأبصار وهو اللطيف الخبير

 

Mafhumnya : Dia tidak dapat dilihat dan diputi oleh penglihatan mata,sedangkan Dia dapat melihat ( dan mengetahui hakikat ) segala penglihatan ( mata ),dan Dia  lah yang amat halus ( melayan hamba-hambaNya dengan belas kasihan ),. Lagi amat mendalam pengetahuanNya. ( Surah al-An’am ayat 103 )

  1.                                                              ii.      Hijab al-Basirah iaitu dinding yang menutup mata hati .Hijab-hijab ini ialah keaiban hati dengan sifat-sifat mazmumah yang menghalang seseorang itu daripada mencapai kebenaran.Sehubungan ini Zun Nun al-Misri menyatakan hijab yang paling halus dan bersangatan pengaruhnya ke atas penglihatan mata hati ialah :

رؤية النفس وتدبيرها

Mafhumnya : melihat diri dan mengaturnya.

Al-basirah atau kekuatan pandangan matahati menurut Syeikh Ismail al-Harawi  dalam kitabnya Manazil al-Sairin ialah yang melepaskan dan membebaskan diri seseorang daripada kebutaan dan kejahilan tentang Allah,akhirat dan syariatNya.Sehubungan ini Allah SWT berfirman :

 

قل هذه سبيلي أدعو الي الله علي بصيرة أنا ومن اتبعني

 

Mafhumnya : Katakanlah ( wahai Muhammad ) : “ Inilah jalanku,aku dan orang-oang yang menurutku,menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata ( yang dipandang dengan mata hati ).( Surah Yusuf ayat 108 ).

 

  • Kalam hikmah ini menegaskan bahawa Allah SWT sahaja yang menguasai segala makhlukNya dan bukan sebaliknya.Justeru itu Allah SWT menegaskan :

 

وان يمسسك الله بضر فلا كاشف له الا هو وان يمسسك بخير فهو علي كل شيء قدير * وهو القاهر فوق عباده وهو الحكيم الخبير*

 

Mafhumnya : Andainya Allah menimpakan kemudaratan atau bala` keatas kamu tiadalah yang dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan andainya Dia mendatangkan kebaikan ke atas kamu,maka Dia berkuasa atas segala sesuatu.Dia yang berkuasa atas segala hambaNya.Dia Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.( Surah al-An’am ayat 17 dan 18 )

Hikmah ke 34

MENGHAMPIRKAN DIRI KEPADA ALLAH DENGAN MEMBUANG SEGALA SIFAT MAZMUMAH

 

أخرج من أوصاف بشريتك عن كل وصف مناقض لعبوديتك لتكون لنداء الحق مجيبا ومن حضرته قريبا

Mafhumnya : Keluarlah anda daripada sifat-sifat kemanusiaan,serta dari segala sifat yang bercanggah dengan ubudiyah anda,supaya dengan itu anda berupaya menyahut perintah Tuhan anda Yang Maha Benar serta dapat menghampirkan diri kepadaNya.

 

  • Sifat basyariyah atau kemanusiaan adalah sesuatu yang lumrah atau lazim kepada manusia,akan tetapi apabila sifat kemanusiaan itu dicemari dengan sifat-sifat mazmumah atau tercela,ia akan menjauhkan seseorang itu dengan tawfiq dan hidayah Allah.Malah sifat basyariyah itu disebut oleh al-Quran dengan jelas terang lagi nyata.Ia adalah suatu keharusan dan kelaziman.Firman Allah :

 

قل انما أنا بشر مثلكم يوحي الي أنما الهكم اله واحد

 

Mafhumnya :Katakanlah (wahai Muhammad ) “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu,diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu,( Surah al-Kahf ayat 110 )

 

  • Al-Imam Abu Hamid al-Ghazzali rh di dalam adikaryanya `Ihya` ‘Ulum al-Din telah mengemukakan 8 bab khusus mengenai sifat-sifat mazmumah ( tercela ) yang diistilahkan olehnya sebagai al-muhlikat atau perkara-perkara yang membinasakan yang meliputi ;
  1. sifat mazmumah serta nafsu syahwat yang berpunca daripada keinginan perut dan kemaluan,
  2. sifat mazmumah yang berpunca daripada lidah,
  3. sifat mazmumah yang berkaitan dengan kemarahan,busuk hati dan kedengkian,
  4. sifat mazmumah yang membabitkan kecelaan dan tipudaya dunia,
  5. sifat mazmumah yang berpunca daripada kerakusan terhadap harta dan sifat kikir,
  6. mazmumah daripada sifat riya` dan bermegah-megah,
  7. vii.              mazmumah takabbur dan ‘ujub,
  8. mazmumah akibat terpedaya dan kelalaian.
  • Rasulullah SAW menukilkan gambaran yang jelas tentang sifat-sifat mahmudah atau terpuji yang menjadi bekas,bejana atau wadah untuk menghampirkan diri kepada Allah.Sebaliknya sifat-sifat tercela akan menjauhkan seseorang itu daripada Allah.Semua sifat-sifat itu berkembang didalam hati sanubari seseorang yang menentukan kedudukan keimanan dan ketaqwaannya.Di sini dikemukakan hadis-hadis Rasulullah SAW yang menerangkan natijah daripada kedua-dua sifat itu :
  1. Rasulullah SAW bersabda :

انما بقي من الدنيا بلآء وفتنة وانما مثل عمل أحدكم كمثل الوعاء اذا طاب أعلاه طاب أسفله واذا خبث أعلاه خبث أسفله

 

Mafhumnya : Sesungguhnya terhasil daripada dunia itu bala` dan fitnah dan perumpamaan amal perbuatan seseorang itu seperti bejana ( bekas ).Apabila baik bahagian atasnya maka akan baik juga bahagian bawahnya.Demikian juga apabila jelek bahagian atasnya maka akan jelek juga bahagian bawahnya.( Riwayat dari Ibn Majah )

  1. Rasulullah SAW bersabda lagi :

ما تقرب المتقربون الي بمثل أداء ما افترضت عليهم

 

Mafhumnya : Satu-satunya kaedah untuk menghampirkan diri kepada Allah yang dilaksanakan oleh orang-orang yang menghampirkan diri kepada Allah ialah dengan menunaikan apa yang telah aku wajibkan keatas mereka. ( Hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a. )

  1. Sabda Rasulullah SAW ;

القلوب أربعة : قلب أجرد فيه سراج يزهر فذلك قلب المؤمن، وقلب أسود منكوس فذلك قلب الكافر، وقلب أغلف مربوط علي غلافه فذلك قلب المنافق، وقلب مصفح فيه ايمان ونفاق

 

Mafhumnya : Hati-hati itu ada empat jenis:

  1. i.                    Hati yang bersih jernih di dalamnya terdapat lampu yang bersinar cemerlang,itulah hati seorang mu`min,
  2. ii.                  Hati yang hitam terbalik,itulah hati seorang kafir,
  3. iii.                Hati yang terbungkus serta terikat bungkusannya,itulah hati seorang munafik,
  4. iv.                 Hati yang melintang,di dalamnya bercampur baur keimanan dan kemunafikan.

( Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan al-Tabrani daripada Abu Said al-Khudri r.a. ,dipetik daripada kitab Ihya` ‘Ulum al-Din oleh Imam al-Ghazzali rh )

 

Hikmah ke 35

AKAR PUNCA KEPATUHAN DAN KEINGKARAN

 

أصل كل معصية وشهوة وغفلة : ا لرضا عن النفس . و أصل كل طاعة وعفة ويقظة : عدم الرضا منك عنها، ولأن تصحب جاهلا لا يرضي عن نفسه خير لك من أن تصحب عالما يرضي عن نفسه.فأي علم لعالم يرضي عن نفسه، وأي جهل لجاهل لا يرضي عن نفسه

Mafhumnya : Asal usul setiap maksiat atau keengkaran,setiap keinginan syahwat dan setiap kelalaian ialah redha atau berpuas hati dengan runtunan nafsu.Sementara itu asal usul setiap kepatuhan,pengendalian keinginan nafsu dan kesedaran batin adalah lantaran ketidakrelaan anda terhadap runtunan nafsu.Justeru itu seandainya anda bertemankan seseorang yang jahil yang tidak redha dengan runtunan nafsunya adalah lebih baik daripada anda bertemankan  seorang yang ‘alim tetapi  yang tunduk kepada keinginan nafsunya. Sehubungan ini manakah ilmu yang boleh memberi manfaat kepada seseorang yang ‘alim tetapi masih redha dengan nafsunya.Demikian juga apakah jenis kejahilan yang boleh merosakkan orang yang jahil, tetapi dia tidak redha dengan runtunan nafsunya.

 

  • Maksiat atau keengkaran menurut istilah syara’ ialah;

مخالفة أمر الله الواجب

Ertinya : Pelanggaran terhadap perintah Allah yang wajib dilaksanakan.

  • Syahwat pula ialah :

الاسترسال في طلب المستلذات

Bermaksud: Melepaskan keinginan beserta nafsu di dalam mengejar sesuatu yang dirasakan enak dan lazat.

  • Al-Ghaflah atau kelalaian ialah :

اهمال الحقوق المندوبة والواجبة بالاسترسال مع دواعي الهوي

bererti : Mengabaikan dari melaksanakan hak-hak yang wajib dan sunat akibat daripada digoda oleh hawa nafsu.

 

  • Tiga tanda bahawa seseorang itu telah ditimpa oleh penyakit redha dan cenderung mengikut runtunan nafsu yang mengaibkan itu;
  1. Keegoan atau keakuan yang menyebabkan seseorang itu sentiasa menyangka dirinya benar.
  2. Mementingkan diri lebih daripada menyayangi agama dan masyarakat.
  3. Selalu memaafkan diri walaupun telah bergelumang dengan kemaksiatan tanpa merasa kesal,jauh sekali daripada usaha untuk bertaubat.

 

  • Kepatuhan atau ketaatan ialah :

موافقة أمر الله واجبا كان أو مندوبا

Maknanya:  Mengakuri dan merelai segala perintah Allah yang meliputi perkara-perkara wajib dan sunat.

  • Al-’Iffah pula ialah :

ترك الدناءة من كل شيء أو علو الهمة عن الشهوات

Ertinya : Sentiasa memelihara diri daripada sifat-sifat yang merendahkan mertabat serta daripada sifat-sifat yang hina dan tercela atau meninggikan hemah daripada semua syahwat

  • Al-Yaqazah ialah  :

دخول في حضرة الرب وتنبه لما يرضيه

Ertinya : Memasuki pekarangan hadirat Allah dan sentiasa berkesedaran untuk mencapai keredhaanNya.

  • Al-Quran mengemukakan garis panduan untuk mengenalpasti siapakah yang berjaya mengendalikan nafsu ? dan siapa pula yang kecundang menghadapinya ?Antara firman Allah SWT yang sejajar dalam hal ini ialah ;

 

  1. وأما من خاف مقام ربه ونهي النفس عن الهوي فان الجنة هي المأوي

 

Maksudnya: Adapun orang yang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya untuk dihisab,serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu,maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya ( di akhirat kelak ).(Surah al-Nazi’at ayat 40-41).

 

  1. أفرأيت من اتخذ الهه هوئه وأضله الله علي علم وختم علي سمعه وقلبه وجعل علي بصره غشاوة فمن يهديه من بعد الله أفلا تذكرون

 

Mafhumnya : Dengan yang demikian,bagaimana fikiranmu ( wahai Muhammad ) terhadap orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan yang dipatuhinya,dan dia pula disesatkan oleh Allah kerana diketahuinya bahawa dia tetap kufur engkar,dan dimeterikan pula atas pendengarannya dan hatinya,serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya ? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah pertunjuk kepadanya  selain daripada Allah ? Oleh itu ,mengapakah kamu wahai orang-orang yang engkar tidak mahu beringat dan insaf ? ( Surah al-Jathiah aya 23 )

 

  1. ومآ أبريء نفسي ان النفس لأمارة بالسوء الا ما رحم ربي ان ربي غفور رحيم

Mafhumnya : Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku;sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan,kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku.Sesungguhnya Tuhanku amat pengampun,lagi amat mengasihani.” ( Surah Yusuf ayat 53 ).

 

  1. ولآ أقسم بالنفس اللوامة

 

Mafhumnya : Dan aku bersumpah  dengan nafsu lawwamah ( bahawa kamu akan dibangkitkan semula selepas mati ) Surah al-Qiyamah ayat 2.

 

  • Orang yang wajar kita mengikat tali persahabatan dengannya perlu memiliki kreiteria berikut ; *Sentiasa menginsafi diri dan bertaubat*Tidak bersifat sombong dan membesarkan diri*Berjuang dan bermujahadah untuk mencari kebenaran dengan kaedah yang betul dan sahih.
  • Ammar bin Yasir r.a. menyatakan hakikat keimanan akan terkumpul ke atas diri seseorang,antaranya;*Menginsafi diri*Mengucapkan salam kepada orang yang dikenal atau tidak dikenal sekalipun*Membelanjakan harta pada jalan Allah.

Apabila seseorang memiliki pergaulan yang sedemikian,iaitu menurut kod etika atau akhlak di atas ,hasilnya ialah ;*Pergaulannya membawa rahmat*Tenteramlah jiwanya dari sebarang gangguan duniawi*Selamatlah kehidupannya di dunia dan akhirat.

 

  • Ahl bin Abdullah rh memperingatkan kita dalam soal pergaulan dan persahabatan,katanya ;

Maksudnya : Hindarilah diri anda dari bergaul dengan tiga golonan manusia,iaitu;

  1. Orang yang mengerti tentang agama tetapi mencampuradukkan hak dan batil
  2. Orang yang mengamalkan tasawuf tetapi jahil dalam ilmu-ilmu keagamaan
  3. Golongan penguasa yang lalai daripada menunaikan hak keagamaan dan kemasyarakatan.
  • Abul Abbas Basyruq rh ketika menjelaskan intisari sebenar ilmu dan amal dengan katanya ;

Maksudnya : Cukuplah bahawa takut akan kemurkaan Allah itu sebagai ilmu pengetahuan yang hakiki dan cukuplah sifat lalai dan tertipu yang menyingkirkan kita dari jalan Allah itu sebagai kejahilan.

  • Syair berikut menjelaskan hakikat persahabatan ;

Maksudnya : Janganlah anda bertanya seseorang itu tentang dirinya tetapi tanyalah sahabatnya,lantaran seorang teman itu sentiasa mengikut gelagat temannya.Apabila anda berada ditengah sekelompok manusia,bersahabatlah dengan orang yang terbaik daripada kelompok itu,dan janganlah anda memilih teman dari kalangan yang tidak baik dari kelompok itu,maka anda akan menempuh kebinasaan bersama dengan orang-orang yang binasa.

Hikmah ke 36

CAHAYA AKAL,ILMU DAN KEBENARAN KE ARAH MENGENAL ALLAH

شعاع البصيرة يشهدك قربه منك ، وعين البصيرة تشهدك عدمك لوجوده ، وحق البصيرة يشهدك وجوده لا عدمك ولا وجودك

Maksudnya : Sinaran cahaya mata hati ( iaitu cahaya akal ) membimbing dan menunjukkan kepada anda tentang kehampiran Allah SWT dengan diri anda.Selanjutnya penglihatan yang jelas ( yang berlandaskan ilmu ) dari mata hati membawa anda memperakui peleburan diri anda di hadapan kemahawujudan Allah SWT.Akhirnya penglihatan yang berlandaskan kebenaran atau “nur al-haq” merealisasikan kewujudan Allah di sisi anda tanpa memerlukan lagi kepada ketiadaan anda atau kewujudan anda sekalipun.

 

  • Sehubungan dengan kalam hikmah tersebut Ibn ‘AtaiLlah menjelaskan ( sebagaimana ulasan To` Pulau Manis ) : “ Ketahui oleh mu bahawasanya nafsu itu terdiri dari tiga kelompok :
  1. Nafsu lawwamah yang merupakan nafsu haiwaniyah yang didorong oleh dorongan syahwat kebinatangan.
  2. Nafsu Ammarah pula adalah nafsu syaitaniyyah yang bersikap menentang peraturan Allah SWT
  3. Nafsu mutmainnah pula adalah nafsu ‘aqiliyyah yang telah suci daripada kekeruhan,maka terangkatlah segala hijab yang mendindingi seseorang itu daripada menghampirkan diri kepada Allah SWT.
  • Bertolak dari kenyataan tersebut cahaya matahati itu merupakan nur al-‘aqli yang mendorong seseorang itu kepada keimanan yang meruntuhkan segala tabir kejahilan dan menghampirkan seseorang itu kepada Allah SWT.Dalam konteks ini Al-Quran menggambarkan hakikat nur al-‘aqli dengan firman Allah SWT di dalam Surah Qaf ayat 16 :

 

  • ولقد خلقنا الانسان ونعلم ما توسوس به نفسه ونحن أقرب اليه من حبل الوريد

 

Maksudnya : Dan demi sesungguhnya  ! Kami ( Allah ) telah menciptakan manusia,dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya,sedang pengetahuan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya,…

  • ‘Ain al-Basirah merupakan cahaya ilmu yang menginsafi pengleburan diri dan penafian diri dihadapan ketentuan Allah serta tidak lagi bergantung dengan amal lantaran semua usaha dan ikhtiar anda adalah ni’mat kurniaan serta rahmat Allah SWT belaka.Dan amalan anda tidak akan memberi bekas dan tidak berupaya mengubah takdir dan penentuan Allah Yang Maha Perkasa.
  • Mertabat ‘ain al-Basirah dapat dijelaskan melalaui kisah Nabi Daud a.s. yang dikisahkan oleh Syeikh Muhammad Abdullah al-San’ani di dalam kitabnya Bain al-Syari’ati wa al-Haqiqati ,al-Qahirah : Percetakan Nur al-‘Amali,halaman 21 : Bahawa Nabi Daud a.s. telah menerima wahyu daripada Allah yang antaranya Allah berfirman :

يا داود اعرفني واعرف نفسك

Maksudnya : “Wahai Daud ! Kenalilah diriKu dan kenalilah juga dirimu.”

Nabi Daud berfikir,apakah yang dimaksudkan oleh Allah dengan wahyuNya itu lantas dia bermunajat sebagaimana berikut :

الهي عرفتك بالفردانية والقدرة والبقاء ، وعرفت نفسي بالضعف والعجز والفناء

Maksudnya : “Wahai Tuhanku ! Aku kenalimu dengan Kemahaesaan,Kekuasaan dan Keberkekalan,dan aku kenali diriku dengan kekerdilan,kelemahan dan kebinasaan”.

Berikutnya Allah berfirman kepadanya :

يا داود الآن عرفتني حق المعرفة

Maksudnya : “Wahai Daud ! Sekarang ini dikau telah mengenali diriKu dengan sebenar-benar ma’rifah.”

  • Haq ul-Basirah iaitu cahaya kebenaran yang membimbing ke arah hakikat yang dii’tiqadkan iaitu mengenal Allah dengan sebenar-benarnya tanpa memerlukan lagi kepada yang lain termasuk peniadaan ke atas diri atau mengakui kewujudan diri sekalipun.
  • Saidina Abu Bakar al-Siddiq telah ditanya :

بما عرفت ربك ؟

Maksudnya :”Dengan apakah anda mengenali Tuhan ?” Beliau pun menjawab :

عرفت ربي بربي ، ولو لا ربي ما عرفت ربي

Maksudnya : “Aku mengenali Tuhanku dengan Tuhanku,dan seandainya bukan kerana Tuhanku,nescaya aku tidak akan mengenali Tuhanku.”

Sipenanya bertanya lagi :

وهل يتأتي للبشر أن يدزكه ؟

Maksudnya “Dan adakah mungkin bagi manusia mengenali Tuhannya ?” Beliau menjawab :

العجز عن درك الادراك ادراك

Maksudnya :”Kelemahan dalam mencapai sesuatu adalah mengetahui sesuatu dalam batasnya.

Hikmah ke 37

 KEWUJUDAN DAN KEMAHAESAAN ALLAH

كان الله و لا شيء معه ، وهو الآن ما عليه كان

 

Maksudnya : Sememangnya Allah SWT itu tetap ada dan tidak ada sesuatu bersama kewujudanNya.Dia sekarang ini Maha Wujud dan Maha Tunggal kewujudanNya itu.

 

  • Sifat yang wajib di sisi Allah SWT ialah kemahaesaanNya dan ketunggalanNya.Kemahaesaan itu pada zatNya,pada sifatNya dan pada perbuatanNya.
  • Kemahaesaan dan ketunggalan Allah itu sendiri selaras dengan logika akal manusia lantaran sifat yang berbilang-bilang akan mencetuskan kekeliruan dan perbalahan.Mustahil di sisi akal bahawa ketuhanan itu berbilang,bersekutu dan bersyarikat dengan pihak yang lain.
  • Sehubungan ini Allah SWT berfirman :

 

لو كان فيهما ءالهة الا الله لفسدتا فسبحان الله رب العرش عما يصفون

 

Maksudnya : Kalau ada di langit dan di bumi Tuhan-tuhan yang lain dari Allah,nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya.Maka bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan : Maha Suci Allah,Tuhan yang mempunyai ‘arasy,dari apa yang mereka sifatkan. ( Surah al-Anbiya` ayat 22 )

 

  • Akal kita sendiri tidak dapat menerima bahawa zat Allah tersusun sebagaimana makhlukNya.Umpamanya manusia tersusun dari daging,tulang,darah dan sebagainya.Lantaran sifat yang tersusun adalah sifat benda yang baharu,sedangkan Allah bukan benda.Dia tidak mengambil ruang dan masa.Sedangkan masa dan ruang adalah makhluk ciptaanNya belaka.

 

  • Wahdaniah atau keesaan pada sifat Allah bermaksud bahawa tidak ada pada sekalian makhluk yang maujud ini bersifat dengan sifat-sifat yang menyerupai Allah.Misalnya sifat kudrat Allah adalah tetap satu.Demikian juga sifat-sifat kesempurnaan Allah yang lain juga satu dan tidak ada suatu juapun yang menyerupaiNya.
  • Wahdaniah atau keesaan pada perbuatan Allah bermaksud bahawa Allah SWT itu Maha Esa pada seluruh perbuatanNya,yakni seluruh perbuatan yang terjadi ke atas seluruh makhlukNya.

 

  • Seluruh perbuatan makhluk bersifat baharu dan disebut al-kasbu yang berertu usaha dan ikhtiar.Usaha dan ikhtiar makhluk tidak akan memberi bekas.Tetapi apa yang memberi bekas ialah ketentuan dan kudrat Allah SWT semata-mata.

 

  • Usaha dan ikhtiar makhluk sentiasa dipertimbangkan oleh kudrat  dan iradat Allah yang menentukan keberhasilan sesuatu perkara.Sehubungan ini Allah SWT menegaskan :

 

وأن ليس للانسان الا ما سعي *  وأن سعيه سوف يري * ثم يجزيه الجزآء الأوفي * وأن الي ربك المنتهي

 

Maksudnya : Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang itu melainkan hasil apa yang diusahakannya;Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan diperlihatkan kepadanya pada hari qiamat kelak;Kemudian usahanya itu akan dibalas dengan balasan yang amat sempurna;Dan bahawa sesungguhnya kepada hukum Tuhanmulah kesudahan segala perkara.

( Surah al-Najm ayat 39-42 )

Hikmah ke 38

 KEMURAHAN DAN LIMPAH KURNIAAN ALLAH

 

لا تتعد نية همتك الي غيره ، فالكريم لا تتخطاه الأمل

 

Maksudnya : Janganlah anda melampaui niat dan pengharapan kepada yang lain daripada Allah lantaran segala angan-angan tidak boleh mengenepikan pemberian dan limpah kurniaan Yang Maha Pemurah itu.

 

  • Kurniaan dan anugerah Allah ke atas segala makhlukNya amat melimpah ruah sehingga tidak wajar dan tidak beradab apabila seseorang itu mengharap dan memohon kepada yang lain daripada Allah.Sehubungan ini Allah berfirman :

 

وءاتاكم من كل ما سألتموه وان تعدوا نعمة الله لا تحصوها ان لانسان لظلوم كفار

 

Maksudnya : Dan Dia telah memberi  kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu berhajat kepadaNya.Dan jika kamu menghitung ni’mat Allah,nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.Sesungguhnya manusia yangh engkar sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya,lagi sangat tidak menghargai ni’mat Tuhannya.(Surah Ibrahim ayat 34 )

  • Kita tidak patut memohon dan mengharapkan kepada yang lain daripada Allah apabila dasarnya membelakangi konsep ubuduyah kita kepada Allah.Pergantungan kita kepada pertolongan Allah mesti berada pada kondisi yang optimis dan positif.Sebagaimana Nabi Yusuf berkata setelah keluar dari penjara :

حسبي من دنياكم ديني ، وحسبي من ديني ربي

 

Maksudnya : “Aku rasa cukup (memadai) agamaku lebih daripada duniamu,dan aku juga memada dengan Tuhanku tentang agamaku.”

  • Demikian pula Nabi Ibrahim berkata sebelum dia dicampak ke dalam api :

حسبي من سؤالي علمه بحالي

Aku merasa cukup daripada bermohon kepadaNya lantaran Dia Maha mengetahui akan hal keadaanku”.

 

 

  • Allah SWT adalah Zat Yang Maha Pemurah.Dia mengampunkan dosa dan memaafkan kesalahan orang-orang yang menyesal dengan kesalahannya dan bertaubat ke atas segala ketelanjurannya.Justeru itu apabila anda memohon dan mengharap kepada yang lain daripada Allah nescaya Dia tidak meredhai permohonan dan pengharapan anda itu.
  • Apabila seseorang itu menghayati konsep kemurahan Allah yang tiada batasan itu akan timbul empat bentuk kebahagiaan dan kedamaian dalam hatinya apabila dia menghadapi pelbagai situasi dalam hidupnya.Inilah apa yang diungkapkan oleh Abu al-Hasan Sariyy al-Saqatiyy (saudara kandung Syeikh Junayd al-Baghdadi) dengan katanya :

 

أربعة أشياء لا يسكن في القلب ومعها غيرها : الخوف من الله وحده ، والجزاء لله وحده ، والحب لله وحده ، والأنس بالله وحده

 

Maksudnya : Empat perkara yang membawa seseorang itu kepada ketenangan hati dan jiwa ;

  1. Takut atau gerun akan kemurkaan Allah semata-mata
  2. Pengharapan hanya kepada Allah semata-mata
  3. Kecintaan hanya tertumpu kepada Allah semata-mata
  4. Bermesra dan jinak hanya dengan Allah semata-mata.

 

  • Justeru itu benarlah kata Abu al-Harith al-Muhasaibi didalam kitabnya Ar-Ri’ayah Li HuquqiLlah : “ Hendaklah kamu berputus asa dengan makhluk tetapi jangan sekali-kali berputus asa dengan Allah”.Inilah penegasan Allah SWT didalam firmanNya yang mengisahkan nasihat Nabi Ya’akub kepada anak-anaknya dalam usaha mencari puteranya Nabi Yusuf yang hilang :

 

ولا تايئسوا من روح الله انه لا يايئس من روح الله الا القوم الكافرون

 

Maksudnya : Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah.Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaun yang kafir.

 

Leave a Reply